EkonomiNasional

Phamaniaga, Duopharma Biotech pembekal vaksin Covid-19

Syarikat farmaseutikal Phamaniaga Lifescience Sdn. Bhd (PLS) dan Duopharma Biotech Berhad memperolehi hak pembekalan dan pengedaran vaksin Covid di negara ini.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba serta Pengarah Urusan Phamaniaga Lifescience Sdn. Bhd. (PLS) , Datuk Zulkarnain Md Eusope dan Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech Berhad, Leonard Ariff Abdul Shatar hari ini.

Syarikat Duopharma (M) Sdn. Bhd. akan membekalkan sebanyak 6.4 juta dos vaksin Sputnik V. Vaksin tersebut dihasilkan oleh Gamaleya Research Institute of Epidemiology and Microbiology di Russia. Pembekalan vaksin akan dibuat secara berperingkat mulai penghujung bulan Mac.

Manakala syarikat PLS akan membekalkan sebanyak 12 juta dos vaksin Covid-19 Coronavac Sar-Cov 2 (Vero Cell) Inactivated. Vaksin berkenaan dihasilkan oleh Sinovac Life Science Co. Ltd. Pembekalan vaksin ini dijangka dilaksanakan secara berperingkat mulai April ini.

“Bagi vaksin COVID-19 CORONAVAC, SARS-COV-2 Vaccine (Vero Cell) Inactivated, setiap penerima akan diberikan 2 dos suntikan vaksin di mana suntikan dos kedua adalah selepas 14 hari dari dos pertama. Dengan jumlah 12 juta dos ini, KKM menjangkakan liputan program imunisasi kepada 6 juta orang atau 18.75% daripada jumlah populasi di Malaysia, berusia 18 tahun ke atas.

“Bagi vaksin Sputnik V pula, setiap penerima akan menerima sebanyak 2 dos suntikan di mana suntikan dos kedua adalah selepas 21 hari dari dos pertama. Dengan jumlah 6.4 juta dos ini, KKM menjangkakan liputan program imunisasi kepada 3.2 juta orang atau 10% daripada jumlah populasi di Malaysia, berusia 18 tahun ke atas,” kata KKM dalam satu kenyataan.

Pembekalan vaksin dari kedua-dua syarikat hanya akan dimulakan setelah mendapat kelulusan dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (Drug Control Authority).

KKM sebelum ini telah menandatangani perjanjian pembekalan vaksin dengan syarikat Pfizer dan AstraZeneca. Jumlah dos vaksin yang telah diperolehi dari kedua-dua syarikat masing-masing adalah sebanyak 24.28 juta dos dan 6.4 juta dos.

Perolehan vaksin akan diselaraskan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang ketika ini dalam proses akhir mendapatkan kelulusan.

Keselamatan dan kesejahteraan rakyat adalah keutamaan kerajaan sebelum meluluskan vaksin tersbeut bagi memastikan Malaysia bebas daripada Covid-19 di samping pemulihan ekonomi negara.-SM

 

 

(Visited 498 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button