Politik

Kerajaan kena peka nasib peniaga kecil ketika PKP – Putra

BAHARU hendak pulih daripada kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lepas dan ada baharu mula berniaga selepas dibuang kerja.

Dua situasi tersebut bukanlah satu persepsi, tetapi realiti yang perlu dihadapi oleh peniaga yang datang daripada dua kategori berbeza.

Namun, mereka menghadapi perkara yang sama iaitu kesukaran untuk bangkit semula selepas hadapi dugaan pertama, tetapi sekali lagi perlu berhadapan situasi sukar untuk kali kedua.

Oleh demikian, kerajaan digesa tidak meminggirkan soal peniaga kecil dalam menguatkuasakan PKP bermula 13 Januari serta Proklamasi Darurat yang dikuatkuasakan sejak 11 Januari lalu.

“Tahun 2021 baharu sahaja bermula tidak sampai sebulan, sudah ramai peniaga kecil tidak boleh berniaga akibat tindakan kerajaan yang melulu memohon pengishtiharan darurat daripada Yang Di-Pertuan Agong semata-mata untuk mengekalkan kuasa.


“Natijahnya peniaga kecil yang majoritinya adalah bumiputra yang terkesan dengan situasi PKP dan darurat ini.

“Pihak kerajaan harus ingat, kebanyakan peniaga kecil seperti peniaga pasar malam ini mendapat pendapatn gaji harian.

“Ibarat kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang. Jikalau mereka boleh berniaga baru ada pendapatan jika tidak, tiada pendapatan.

“Itu belum lagi diambil kira sesetengah peniaga ini baru sahaja mula berniaga akibat daripada diberhentikan kerja, menganggur atau pendapatan mereka tidak mencukupi akibat pengurangan gaji harian mereka.”

Demikian kata Ketua Peneranga Parti Bumiputera Perkasa (Putra), Ashraf Rosli, dalam satu kenyataan menggesa satu perancangan daripada kerajaan untuk mereka dirangka dan dilaksana.

Beliau berkata, golongan ini perlu diberi perhatian kerana mereka juga mempunyai tanggungan, malah ada dalam kalangan mereka yang terpaksa membuat pinjaman untuk meneruskan kehidupan.

“Peniaga ini juga ada mengambil pinjaman daripada bank samaada pinjaman peribadi, pinjaman kenderaan dan sebagainya.

“Apabila kerajaan gagal untuk memberikan moratorium secara pukal dalam bajet baru-baru ini, mereka ini juga terkesan kerana nasib mereka tidak ubah seperti ‘sudah jatuh ditimpa tangga’.

“Sudahlah beban kewangan perlu difikirkan, sekarang dalam keadaan PKP ini tidak boleh berniaga pula,” katanya.

Dalam masa sama, Ashraf meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kementerian berkaitan, memikirkan model perniagaan sesuai bagi peniaga kecil untuk membantu mereka berniaga ketika PKP. – SM

(Visited 328 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button