Belang Bertempat

Kluster Menteri lawan Kluster Mahkamah

CAKAP-CAKAP mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya berehat untuk kali kedua, kini tiba-tiba mula menjadi tindakan.

Bermula dari pemimpin pemuda yang biasanya tidak akan berani bersuara jika tiada tangan ghaib berkuasa di belakangnya.

Jika sebelum ini hanya cakap-cakap di kedai kopi dan kalangan ahli bawahan, sedangkan pemimpin atasan masih mempertahankan Zahid atas dasar institusi kepresidenan harus dipertahankan dan jasa beliau dalam membina kembali UMNO yang jatuh merudum selepas tewas pada pilihan raya umum yang lalu.

Kini cakap-cakap itu telah menjadi bentuk kenyataan media dan pemimpin terbabit pula enggan menarik balik gesaan itu.

Jika kita melihat kembali bebenang kepada punca desakan itu apabila Zahid yang dilabel sebagai Kluster Mahkamah mula menyerang Tan Sri Annuar Musa yang dikaitkan dengan Kluster Menteri.

Annuar walaupun antara pemimpin yang bersama dengan Zahid merintis kebangkitan UMNO kini dilihat membawa haluan berbeza kerana menyerang presiden secara berdepan selepas dipecat jawatan sebagai Setiausaha Agong Barisan Nasional.

Selepas tindakan itu Zahid dan pemimpin UMNO yang dikelompokkan di dalam Kluster Mahkamah dikatakan sengaja mengganggu kestabilan kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semata-mata mahu membebaskan diri daripada pertuduhan di mahkamah.

Kesilapan pemimpin tertinggi UMNO adalah kerana gagal memutuskan untuk keluar beramai-ramai dari kerajaan dan meruntuhkan kerajaan Perikatan Nasional bagi membolehkan pilihan raya diadakan.

Ketakutan UMNO mudah dibaca. Tentulah para menteri yang berada di kerusi empuk tidak akan mudah melepas nikmat yang dikecapi pada masa ini, hingga mereka lupa kepada masa depan rakan-rakan mereka yang tidak menentu kerana berdepan dengan pertuduhan di mahkamah yang dikatakan bersifat tuduhan politik.

UMNO juga bimbang akan disumpah oleh rakyat kerana menyebabkan bencana politik ketika negara berdepan dengan bencana alam iaitu banjir dan penularan wabak Covid-19.

Melengahkan sehingga ke akhir bulan ini bagi membolehkan Perhimpunan Agung UMNO memutuskannya, akhirnya memakan diri sendiri apabila Muhyiddin berjaya meyakinkan Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan darurat dan menggantung parlimen bagi memberi laluan kepada usaha memulihkan negara daripada krisis ekonomi dan pandemik.

Kini serangan berbalik kepada Zahid sedang Zahid perlu terus kekal menyandang jawatan Presiden UMNO sehingga habis penggalnya iaitu pada 2021 kerana beliau dipilih oleh perwakilan parti.

Ini kerana dalam pemilihan parti sebelum ini, ketika Ahmad Zahid tidak mempunyai apa-apa kuasa setelah UMNO kalah dalam PRU-14, beliau menang dalam pertandingan lima penjuru untuk jawatan Presiden.

Ahmad Zahid memperoleh 93 undi, menewaskan empat pesaing lain antaranya dua nama besar UMNO iaitu bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen Rembau dan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah selaku Ahli Parlimen Gua Musang.

Dalam pemilihan UMNO pada waktu itu, Khairy memperoleh 51 undi, manakala Tengku Razaleigh ataupun Ku Li mendapat 23 undi.

Dua lagi pencabar kerusi berkenaan yang kurang dikenali iaitu ahli UMNO Bahagian Bandar Tun Razak Mohamed Iqbal Maricair dan ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri Mohd Yusof Musa @ Jamaluddin, gagal memperoleh sebarang undi.

Dengan tiada kuasa pada waktu itu, Zahid berjaya mengalahkan tokoh hebat seperti Tengku Razaleigh dan Khairy Jamaluddin.

Tokoh hebat seperti Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pun hampir kalah dengan Tengku Razaleigh Hamzah ketika pemilihan Presiden UMNO pada 1987.

Tetapi Zahid berjaya mengetepikan saingan Tengku Razaleigh dan ia sekali gus menunjukkan Zahid mempunyai sokongan akar umbi yang kuat, jadi adalah tidak wajar pada ketika ini wujud desakan supaya Zahid meletakkan jawatan.

Jika kes mahkamah dijadikan sebagai alasan, Zahid dituduh di mahkamah selepas beliau menang jawatan Presiden. Namun beliau tetap mengemudi parti keramat orang Melayu ini dengan jayanya.

Zahid merupakan satu-satunya Presiden UMNO yang menerajui parti ketika UMNO hilang kuasa, beliau menunjukkan keberanian untuk terus mengemudi parti keramat ini walaupun tanpa kuasa.

Bukan mudah untuk menetapkan hala tuju parti ketika politik negara sendiri berkecamuk dan buukan mudah menjadi pembangkang ketika Tun Dr Mahathir Mohamad berkuasa, pada PRU11 tahun 1999, Tun Mahathir tidak dapat mengekalkan 2/3 majoriti, tiga tahun kemudian pd tahun 2002 beliau meletakkan jawatan sebagai PM. Begitu juga pada PRU14, beliau hanya bertahan 22 bulan sahaja.

Bila UMNO kalah di PRU-14 ramai pemimpin yang dulunya hebat-hebat angkat bendera putih, malah 16 ahli parlimen UMNO melompat dari perjuangan asal untuk terus bernafas. Orang-orang seperti ini tidak mempunyai jiwa yang kental dan sanggup bertahan.

Apabila UMNO kembali menjadi kerajaan di bawah gabungan Perikatan Nasional, Zahid juga berjiwa besar apabila tiada jawatan disandangnya di kala ada pimpinan lain dalam UMNO diberikan jawatan.

Tidak ramai pimpinan yang berani dan sanggup lakukan seperti mana dilakukan oleh beliau. Sebagai manusia biasa, tidak dinafikan Zahid juga ada kelemahan tetapi jangan kita lupa keberanian dan pengorbanannya untuk parti keramat ini.

Ada hikmah disebalik semua itu, sebenarnya UMNO beruntung kerana kita mengetahui yang mana pemimpin yang ikhlas dan mana pemimpin yang hanya berpura-pura dalam perjuangan ini.

Ada khabar bertiup Kluster Menteri gigih menyingkirkan Zahid kerana gagal berunding tentang pembahagian kerusi supaya lebih memihak kepada rakan-rakan yang melompat tempoh hari.

Ketika dua kluster ini gigih bertelagah difahamkan juga Bersatu sedang gigih menubuhkan cawangan dan apabila tempoh darurat tamat, parti yang dikatakan sebelum ini tidak mempunyai akar umbi akan menjadi sebuah parti terbesar di negara ini dan ia bukan satu perkara mustahil.

Mereka bergerak secara diam-diam. UMNO gegak gempita bergaduh sesama sendiri. Bersedialah UMNO untuk dilumpuhkan dan ditelan.

(Visited 1,499 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button