Nasional

UniMAP cipta peralatan diagnos Covid-19 terpantas

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya melahirkan sebuah ‘Peranti Diagnostik Perubatan untuk COVID-19’ (Medical Diagnostic Device for COVID-19) yang terpantas dan yang pertama seumpamanya di Malaysia menggunakan kaedah elektrikal yang memberikan hasil yang begitu cepat dan tepat.

Kit tersebut kini telah berjaya mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Malaysia untuk diteruskan ke peringkat ujian klinikal penuh yang akan dilakukan bermula pada awal tahun 2021 di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Shah Alam dan diharap ianya dapat membantu dalam mengawal pandemik COVID-19 yang menjadi masalah sejagat.

Demikian dipersembah maklumkan oleh Pengarah Institut Kejuruteraan Nano Elektronik (INEE) UniMAP Prof. Ts Dr. Uda Hashim kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam satu majlis sembah taklimat hasil kajian berkenaan yang diadakan di Galeri DiRaja Arau.

Kehadiran Prof Uda yang diiringi anak beliau, Muhammad Nur Afnan Uda yang juga merupakan salah seorang yang terlibat di dalam penyelidikan produk tersebut disambut oleh Setiausaha Sulit Tuanku Raja Muda Perlis, Zaharin Haris.

Menurut Prof Uda yang sebelum ini merupakan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniMAP, peranti ini mampu memberikan keputusan dalam masa kurang daripada 20 minit dan telah mengambil masa selama 2 tahun untuk dibangunkan.

‘Kaedah sedia ada, iaitu RT-PCR yang digunakan ketika ini memerlukan masa hampir 3 hingga 4 jam bagi mendapatkan keputusan terhadap COVID-19. Selain itu, kit pendeteksi COVID-19 yang diusahakan ini mampu memberikan ketepatan klinikal yang tinggi menghampiri 100% berdasarkan ujian klinikal awal’.

Tambah Prof Uda yang mengetuai penyelidikan ini lagi, oleh kerana peranti ini bersifat mudahalih, ianya boleh digunakan di laluan dan pintu-pintu masuk utama negara seperti di sempadan, di lapangan terbang, pelabuhan dan sebagainya bagi memudahkan Kementerian Kesihatan dan pihak Kerajaan mengesan lebih awal jangkitan COVID-19 dan memastikan negara selamat daripada penularan ini terutamanya yang melibatkan kes-kes tempatan dan import.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Canselor universiti awam berkenaan selepas mendapat penerangan dengan lebih jelas serta melihat sendiri demonstrasi pengoperasiannya menitahkan rasa begitu berbangga sekali kerana kit peranti pengesan virus yang difahamkan adalah lebih cepat, tepat dan murah tersebut dapat dicipta dan dibuat seratus peratus di Perlis dan ianya turut membuktikan betapa para penyelidik tempatan kita khususnya dari UniMAP turut mampu menghasilkan produk berkualiti yang bukan hanya akan mampu menyumbang kepada negara malah dunia secara keseluruhannya.

(Visited 695 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button