Politik

Kompaun RM10,000: SOP cegah Covid-19 kena konsisten

ISU prosedur operasi standard (SOP) pencegahan jangkitan pandemik Koronavirus (Covid-19) menjadi alasan utama kompaun baharu sebanyak RM10,000 ditolak.

Masalah SOP yang didakwa kerap berubah dibangkitkan dan hal tersebut perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum kompaun baharu dikuatkuasakan.

Ini kerana, SOP yang tidak konsisten atau bersifat ‘flip-flop’ akan menyusahkan rakyat ditambah pula dengan kadar kompaun baharu lebih tinggi.

Malah, kekeliruan SOP juga timbul terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri-negeri tertentu yang dilonggarkan.

“Secara asasnya saya bersetuju dengan keputusan kerajaan menaikkan kadar kompaun terhadap mereka yang ingkar SOP Covid-19.

“Saya sedar bahawa kerajaan memerlukan undang-undang yang ketat bagi mengawal penularan wabak ini demi memastikan kesejahteraan rakyat.

“Bagaimanapun saya agak kurang setuju dengan langkah kerajaan menaikkan kadar kompaun sehingga RM10,000 dalam keadaan SOP yang tidak konsisten ataupun flip-flop.

“Menaikkan kadar kompuan dalam keadaan SOP yang tidak konsisten dan PKP yang separuh masak bagi saya bukan saja akan menimbulkan kemarahan rakyat, tetapi juga ia merupakan satu penderaaan terhadap rakyat.”

Demikian kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mustafa Shah Abdul Hamid hari ini dalam satu kenyataan mengulas kompaun baharu dikenakan kerajaan mulai 11 Mac ini.

Terdahulu, media melaporkan kerajaan bakal melaksanakan kompaun baharu bagi kesalahan ingkar SOP PKP sebanyak RM10,000 berbanding RM1,000 sebelum ini.

Pemakluman tersebut dilihat menerusi paparan di e-Warta Persekutuan menerusi Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan semalam.

Bagaimanapun, kerajaan disarankan tidak terus mengenakan kompaun RM10,000 kerana hukuman berkenaan akan membebankan rakyat terutama yang tidak berkemampuan.

Ini kerana tidak memadai kompaun yang sama dikenakan bagi kesalahan ringan sedangkan bagi kesalahan berat turut dikenakan kompaun sama.

“Kadar kompaun boleh dikenakan terhadap individu yang melanggar SOP ini dengan melihat kadar kesalahan yang mereka lakukan.

“Jika kesalahan itu pertama kali mereka lakukan, kadar kompuan mungkin memadai RM1,000.

“Jika kesalahan berulang, kadar kompaun meningkat sedikit demi sedikit sehingga maksimum RM10,000.

“Adalah tidak adil dalam keadaan sukar sebegini, pendapatan rakyat terjejas, kita mengenakan hukuman yang keras ke atas mereka.

“Saya berharap kerajaan boleh menilai semula keputusan ini,” saran Ketua Pemuda UMNO Kuala Kangsar itu. – SM

(Visited 164 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button