Belang BertempatRencanaUncategorized

Dilema pelaksanaan PKP di Selangor

SEPERTINYA wujud satu lagi polemik di peringkat pentadbiran negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh.

Mari kita imbas balik mengenai cadangan pelaksanaan PKP yang dibuat oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

Cadangan dimaklumkan kepada media pada 17 Mei lalu adalah selepas melihat kes harian pandemik Koronavirus (Covid-19) di Selangor sahaja tidak kurang empat angka.

Malah sejak hari pertama pelaksanaan PKP seluruh negara pada 12 Mei lalu pun, Selangor berterusan ‘menjuarai’ kes baharu setiap hari berbanding negeri-negeri lain, semalam sahaja sudah 2,251 kes!

Tetapi, cadangan PKP penuh itu menimbulkan polemik apabila dalam Kerajaan Negeri Selangor sendiri ada pihak bersetuju dan tidak bersetuju yang disampaikan secara terbuka.

Faktor wang ringgit menjadi topik utama kepada pertikaian ini, kerana sebuah akhbar tempatan baru-baru ini melaporkan negara akan kerugian RM600 juta hingga RM1 bilion jika Selangor laksana PKP penuh.

Tetapi, akhbar sama juga melaporkan rakyat Selangor setuju untuk melalui PKP penuh di negeri itu supaya Covid-19 dapat dibendung dan seterusnya melandaikan graf jangkitan.

Semua pihak perlu sedar teras masalah

Hakikatnya, kerajaan baik di pusat ataupun negeri perlu menyedari teras sebenar masalah dalam melaksanakan PKP penuh bukan ekonomi, tetapi komitmen dan tanggungjawab semua pihak.

Jika semua kedai, pusat beli belah, pejabat dan kilang ditutup, teras kepada masalah adalah komitmen sepanjang tempoh PKP.

Tiada pendapatan, bermakna komitmen sama ada di peringkat organisasi korporat ataupun individu tidak dapat dipenuhi termasuklah bayaran cukai, komitmen infrastruktur, gaji, hutang bank, sewa bulanan dan sebagainya.

Persoalannya, dalam hal ini, kedua-dua kerajaan pun seolah-olah tidak bersedia untuk tanggung rugi. Takkanlah sampai hendak memperjudikan keselamatan dan kesihatan rakyat?

Sebab itulah timbulnya dilema PKP di Selangor, dalam kerajaan negeri pun ada dua pihak berlainan. Kerajaan pusat pun masih berkira-kira untuk laksana PKP di negeri terkaya itu.

Akhirnya rakyat marhaen juga yang terkena!

 

(Visited 268 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button