fbpx
Nasional

Majikan yang miskin, bantulah mereka

Oleh Dr. Asri Salleh

SAYA merujuk kepada Stimulus Pakej Untuk Merangsang Ekonomi Negara yang diumum oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Mac lalu.

Izinkan saya menarik perhatian kita kepada senario seorang majikan seperti berikut: Kita andaikan pendapatan majikan (pemilik/pemilik tunggal) sebelum MCO adalah RM10,000 sebulan.

Mahu tidak mahu, atas faktor kemanusiaan dan asbab mematuhi dasar bermajikan negara, majikan ini tetap masih perlu bayar sewa kedai atau pejabat, mencarum KWSP untuk pekerja dan dirinya serta membayar gaji pekerja secara penuh.

Realitinya, tanpa pendapatan syarikat, golongan ini perlu dan terpaksa keluar duit simpanan atau mencari alternatif pilihan termasuk membuat pinjaman untuk selesaikan bayaran-bayaran di atas.


Pertimbangan sama ada ia termasuk dalam kerangka pelan strategik syarikat tidak lagi menjadi soal kerana hampir tiada sesiapa menjangka krisis Covid-19 ini.

Ringkasnya, sepanjang PKP ini, majikan berdepan risiko kehilangan pendapatan syarikat, malah gulung tikar.

Hakikatnya, dasar atau Sistem Pengurusan Risiko atau Risk Management System dalam kalangan SME atau majikan-majikan kita adalah rendah dan lemah. Impak PKP dan Covid-19 sangatlah besar dan mencabar.

Pendapatan syarikat boleh saja jadi kosong atau negatif semasa dan selepas tempoh PKP. Majikan tiada KWSP apa lagi surplus bajet utk kegunaan semasa genting.

Dalam pada itu, mereka juga masih ada komitmen diri serta keluarga untuk ditanggung. Sama seperti pekerja mereka. Keadaan menjadi lebih rumit apabila majikan tidak berhak menerima bantuan khas tunai yang kerana pendapatan isi rumahnya adalah di atas RM8,000 sebulan.

Bantuan yang ada hanyalah dalam bentuk pinjaman untuk SME dengan kadar faedah 2%. Kesannya, mereka akan terpaksa berhutang bagi menanggung gaji pekerja selain untuk sara hidup sendiri.

Dalam pada itu, jika majikan mahu menuntut RM600 sebulan untuk imbuhan kepada setiap pekerja, mereka perlu buktikan pendapatan syarikat berkurang 50% bermula 1 Januari 2020. Subsidi atau bantuan RM600 ini tidak akan terus masuk ke akaun majikan.

Ia akan melalui saringan birokrasi, verifikasi dan validasi serta proses pembuktian dokumentasi yang rencam. Maka, pasti akan berlaku keadaan dimana permohonan ditolak atau majikan akan berputus asa kerana keberulangan isu dokumentasi, teguran teknikal dan status pekerja yang leceh.

Ringkasnya, jika kita buat perbandingan di antara pendapatan majikan dan pekerja dalam tempoh PKP ini, majikan inilah sebenarnya yang akan berstatus orang miskin.

Cadangan

Kerajaan boleh menimbangkan untuk membenarkan majikan menolak gaji pekerja sama kadar dengan nilai bantuan pakej perihatin yang pekerja terima dari kerajaan sepanjang tempoh PKP. Lagipun, jika pekerja sudah diberi bantuan melebihi dari nilai status quo gajinya selepas dibantu oleh kerajaan.

Contohnya, bagi pekerja yang layak dapat bantuan RM800 sebagai bujang, maka majikan bolehlah dibenarkan untuk menolak RM800 ini dari gaji pekerja tersebut.

Kerajaan juga boleh menimbangkan untuk menyediakan bantuan one off kepada para mereka, terutama sekali mereka yang dari pemilik tunggal atau syarikat kecil.

Bantuan tersebut boleh didatangkan dalam bentuk subsidi (bukan berbentuk pinjaman) sebagai sebahagian daripada pakej stimulus ekonomi untuk SME atau majikan swasta.

Kita jangan lupa majikan inilah yang mengusahakan kedai-kedai bahan binaan, bengkel, syarikat insurans, syarikat peguam, syarikat audit, kedai-kedai kesihatan dan kecantikan, syarikat pengendali latihan/rundingan, pengiklanan, restoran, kedai dobi, kedai gunting, kedai IT dan pelbagai syarikat lagi yang kedudukan kewangan mereka tidak kukuh.

Namun, golongan ini menggaji ramai pekerja. Di bawah mereka ini juga ramai para graduan bergantung hidup. Operasi harian mereka inilah yang membantu menggerakkan industri hiliran yang lain seperti gerai makan Kak Kiah dan warung teh tarik Pak Akob pada hari bekerja.

Percaya atau tidak, “Majikan Kaya” tidaklah banyak di Malaysia. Apalagi mereka yang dikatakan berstatus SME ini kebanyakannya memulakan perniagaan dengan pembiayaan dari pemiutang rasmi dan tidak rasmi.

Maka itu, membantu serta memakmurkan majikan juga sangat penting. Jika mereka gulung tikar, beratus ribu pekerja juga akan hilang sumber pendapatan.

Justeru, kepada anggota pentadbiran Kerajaan yang terbabit langsung dengan perjalanan serta operasi harian lantai ekonomi negara, marilah sama-sama berusaha memastikan bajet prihatin “TIADA GOLONGAN YANG TERCICIR” ini benar-benar sampai ke segenap lapisan masyarakat.

PENULIS adalah Pensyarah Kanan
Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi UiTM Sabah

Show More

Related Articles

Back to top button