fbpx
Nasional

Jawi: Dong Zong akui berbeza pendapat dengan KPM

DONG Zong mengakui mempunyai perbezaan pendapat dengan Kementerian Pendidikan mengenai kaedah pelaksanaan tulisan Jawi di sekolah.

Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim berkata, pertubuhan itu memegang prinsip kepelbagaian dan percaya perbezaan boleh diselesaikan dengan sesi dialog dan perbincangan yang rasional.

“Namun begitu, dalam cara atau kaedah pelaksanaan tulisan Jawi di sekolah, kami memang ada berbeza pendapat dengan Kementerian Pendidikan.

“Dalam  isu tulisan Jawi, kami menghormati pendapat lain dan sentiasa terbuka serta bersedia untuk perbincangan dengan mana-mana pihak.   

“Malaysia baharu semestinya bersifat inklusif, menyantuni, membuka dialog dan tidak memaksa,” kata Tai Kim.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis Perjumpaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Bersama Pertubuhan-Pertubuhan Cina dan India di Kompleks Islam, Putrajaya hari ini.

Tai Kim berkata, pihaknya berterima kasih kepada Mujahid kerana menyediakan peluang untuk mendengar pandangan pertubuhan itu.

Justeru, Dong Zong  berharap melalui perbincangan dengan Mujahid persefahaman bersama yang kukuh dapat dicapai demi kemajuan negara.

Tai Kim juga berkata, Dong Zong tidak pernah menentang tulisan Jawi dan menghormati dan menyayangi  tulisan tersebut sebagai warisan Melayu dan khazanah penting negara.

Menurutnya, dalam aktiviti-aktiviti silang budaya yang dianjurkan oleh Dong Zong, pelajar-pelajar juga berpeluang menghayati dan membelajari seni tulisan pelbagai kaum, termasuk tulisan Jawi.

“Kepelbagaian adalah kekayaan dan keindahan ciptaan Tuhan, ia tetap diraikan oleh Dong Zong. Saya ingin menekankan bahawa Dong Zong tidak pernah menentang tulisan Jawi, kami menghormati dan menyayangi tulisan Jawi sebagai warisan Melayu, khazanah penting negara Malaysia,” kata Tai Kim.

Teks ucapan penuh Tai Kim dalam majlis tersebut boleh dibaca di Facebook Dong Zong.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Penulis mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. 'Kehilangan' jurukamera ketika bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah penulis lupakan.

Related Articles

Back to top button