fbpx
Nasional

Harga syiling baharu penutup mulut hidung ditetapkan esok

KERAJAAN akan melihat semula harga siling penutup mulut dan hidung yang ditetapkan RM2 sekeping, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, perkara berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat esok, memandangkan harga siling bagi penutup mulut dan hidung pada masa ini adalah tinggi.

“Perdana Menteri juga tidak bersetuju dengan harga yang terlalu tinggi tersebut dan kita akan adakan mesyuarat esok, supaya pihak KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) melihat semula harga tersebut.

“Kita mahu ia (harga) diturunkan, kalau boleh diturunkan lebih banyak lagi, mungkin diturunkan sehingga ke paras yang ditetapkan di peringkat awal lagi,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri-menteri berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini, hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, tidak ada sebab untuk harga penutup mulut dan hidung dinaikkan, memandangkan kerajaan telah bersetuju untuk menghapuskan duti import bagi pembelian peralatan itu.


Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, harga siling topeng muka atau penutup mulut dan hidung dinaikkan daripada 80 sen kepada RM2 sekeping, selain membenarkan import barangan itu, susulan kekurangan bekalan di pasaran domestik.

  Hari ini, Nanta juga dilaporkan berkata terserah kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), untuk membuat keputusan mengenai cadangan pemberian penutup mulut dan hidung secara percuma, terutamanya di kawasan-kawasan berisiko COVID-19.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, 10 juta penutup mulut dan hidung yang akan dibawa masuk dari China, adalah dibiayai oleh kerajaan.

Katanya, peralatan itu akan diagihkan mengikut keutamaan, diberikan kepada petugas barisan hadapan dan selebihnya diagihkan di kawasan-kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Infrastruktur) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, secara dasarnya persetujuan telah dicapai dengan kerajaan China, dan urus kerja untuk membawa masuk bekalan penutup mulut dan hidung sedang diurus, Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama syarikat penerbangan. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button