NasionalNegeri

Kakitangan perlu faham prestasi dirancang MAIPs – Raja Muda

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, supaya kakitangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memahami dan berkongsi matlamat prestasi yang telah dirancang dan ditetapkan.

Titah Baginda, matlamat dan sasaran prestasi perlu diperjelaskan dan dipersetujui oleh setiap kakitangan supaya memahami apa yang perlu dilakukan bagi mencapainya.

Sehubungan itu titah Baginda, pihak pengurusan MAIPs hendaklah memastikan matlamat dan sasaran prestasi yang dipersetujui harus boleh dicapai (realistic), boleh dilihat (visible) dan boleh diukur (measureable).

“Dalam hubungan ini, pengurusan MAIPs hendaklah menggunakan prinsip ‘SMART’ iaitu ‘specific, measureable, achieveable, realistic dan time bound’ dalam menetapkan usaha dan matlamatnya,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan zakat MAIPs berjumlah RM11,600 untuk diagihkan kepada 29 asnaf terpilih bagi kariah Masjid Shahrani, Behor Lateh, Kangar.


Masing-masing akan menerima RM400 setiap seorang melalui amilnya Mohizam Mohammad sempena Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke 18 bagi tahun 2022 yang diadakan di masjid berkenaan, semalam.

Syed Faizuddin Putra selaku Yang DiPertua MAIPs bertitah, satu pendekatan mengurus pekerja dalam organisasi diperlukan kerana pengurusan prestasi berfokuskan modal insan.

Titah Baginda, ia adalah mengenai bagaimana seorang individu atau sekumpulan individu bekerja bersama dan saling membantu untuk mencapai matlamat dan sasaran yang telah dipersetujui bersama’.

Dalam hubungan ini Baginda dalam titahnya menambah seorang pentadbir atau ketua perlu memainkan peranan yang penting untuk membimbing dan memberi semangat kepada orang yang di bawah seliaannya bagi memastikan pencapaian matlamat dan sasaran prestasi dapat direalisasikan. – SM

(Visited 46 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button