Ekonomi

Cradle peruntukan RM26.5 juta biayai dua program

CRADLE Fund Sdn. Bhd., memperuntukkan RM26.5 juta untuk membiayai dua program pelaburan baharu yang telah dilancarkan iaitu Program Pelaburan Cradle Ígnite (CIP Ignite) dan Program Pelaburan Cradle Accelerate (CIP Accelerate).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle Fund Sdn Bhd, Rafiza Ghazali berkata daripada jumlah peruntukan itu, sebanyak RM16.5 juta akan digunakan untuk CIP Ignite dan baki RM10 juta, ke atas CIP Accelerate.

“Untuk kedua-dua geran ini, kami mensasarkan sekitar 38 pemula niaga merangkumi dua program berkenaan dalam tempoh lima hingga enam bulan akan datang,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran geran oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaludin di sini hari ini.

CIP Ignite telah direka sebagai geran bersyarat dengan kelulusan sehingga RM500,000 untuk menyokong perkembangan awal pemula niaga teknologi, perusahaan kecil dan sederhana berasaskan teknologi (PKS) atau entiti perniagaan milik universiti dan institusi penyelidikan.

“Geran ini dibahagikan kepada dua komponen yang berbeza iaitu CIP Ignite (1) bagi inovasi teknologi yang mendalam dan CIP Ignite (2) untuk syarikat berasaskan teknologi inovatif yang lain. Program pembiayaan  ini telah direkabentuk bagi mewujudkan lebih banyak peluang kepada syarikat baharu mengkomersilkan inovasi mereka termasuk mewujudkan nilai dalam pasaran,” katanya lagi.

Manakala, CIP Accelerate menyediakan pembiayaan sehingga RM2 juta dan tertumpu bagi mempercepatkan pertumbuhan syarikat berteknologi tinggi serta perniagaan dari universiti dan institusi penyelidikan.

Untuk meningkatkan potensi kejayaan penerima dana, Cradle akan menyediakan sokongan nilai tambah dalam bentuk program kejurulatihan berstruktur, yang mana, penerima dana akan menerima nasihat dari mentor perniagaan yang berpengalaman, perkhidmatan tambah nilai lain serta peluang latihan yang disasarkan bagi  menangani sebarang kelemahan.

“Geran baharu ini telah dibangunkan berdasarkan dengan apa yang kita alami semasa pandemik COVID-19.

“Kita tidak lagi boleh bersikap ‘Perniagaan Seperti Biasa’ untuk mencari penyelesaian yang inovatif dan berasaskan teknologi bagi menangani isu-isu seperti akses kepada kesihatan yang lebih baik, keselamatan makanan dan tenaga,” katanya.

Sementara itu, Khairy Jamaludin dalam ucapannya berkata pemula niaga tempatan boleh meneroka banyak peluang yang wujud melalui norma baharu.

Setiap krisis menjanjikan peluang dan kekuatan baharu, tetapi syarikat perlu memahami realiti dalam norma baharu untuk berkembang dengan inovasi yang berkaitan dengan teknologi.

“Cradle Fund akan terus komited untuk memberikan panduan kepada pemula niaga tempatan dan berharap kedua-dua geran ini akan menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara. Kerajaan akan menyokong syarikat berteknologi tinggi di kalangan pemula tempatan yang berpotensi untuk memanfaatkan inovasi sedia ada,” katanya. – BERNAMA

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
error: Isi kandungan ini di lindungi dari Copy & Paste !!
Close
Close