Auto TravelBerita Auto

BMW X5 xDrive50e M Sport 2024 untuk pasaran Malaysia diperkenalkan

MENYUSULI kejayaan BMW X5 dalam pasaran Malaysia pada 2023, BMW Malaysia mempertontonkan varian ‘plug-in’ hibrid jentera Sports Activity Vehicle (SAV) baharu iaitu BMW X5 xDrive50e yang turut dipasang di dalam negara.

Ia telah diperkenalkan dalam majlis pengumuman prestasi jualan BMW 2023 di Auto Bavaria Balakong semalam. Hadir dengan pakej M Sport secara standard, BMW X5 xDrive50e baharu diberikan kemaskini yang signifikan dari segi prestasi dan efiensi, menyalurkan lebih banyak kuasa dengan jarak operasi elektrik yang lebih tinggi, tanpa mengetepikan keterampilannya yang elegan dan moden.

Bagi sudut dinamik pemanduan, BMW X5 xDrive50e M baharu dikuasai enjin petrol 3.0 liter pengecas turbo enam-silinder sebaris dengan hamburan kuasa 308 hp pada 5,000 rpm dan tork 450 Nm pada 1,750 rpm. Ia jua digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 194 hp dan tork 280 Nm yang dijanakan bateri lithium-ion berkapasiti 25.7 kWh. Bersama dengan sistem output mencecah 489 hp rpm iaitu 96 hp lebih tinggi berbanding model terdahulu, juga dengan tork yang lebih tinggi kini berjumlah 700 Nm.

Sekaligus membantu SAV PHEV ini mampu dipecut dalam masa 4.8 saat bagi 0-100 km/j dan mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 250 km/j. Ia turut dibekalkan dengan transmisi Steptronic lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda (AWD).

Dengan motor elektrik yang dinaiktaraf, X5 xDrive50e M baharu ini mampu bergerak dengan pacuan elektrik sejauh 110 km (mengikut kitaran WLTP). Di samping penambahbaikan sebanyak 7.4 kW bagi aspek pengecasan, jentera ini hanya mengambil masa sekitar 4.5 jam untuk mencecah status 0-100% dengan menggunakan pengecas AC Type 2.

BMW X5 xDrive50e M baharu ini yang didatangkan dengan pakej M Sport secara standard, turut menerima kemaskini gril kidney dengan pencahayaan BMW Iconic Glow LED bersama rekaan baharu lampu utama dan lampu nyalaan siang (DRL) bersama rekaan X yang bergaya. Melengkapkan lagi gayanya, ia juga diberikan roda aloi ringan V-Spoke 915 M Bi-colour bersaiz 21-inci.

Untuk bahagian kabinnya, BMW X5 xDrive50e M Sport ditampilkan dengan BMW Curved Display 14.9-inci bersama kluster paparan digital penuh yang sedia untuk diakses oleh pemandu, kini turut memuatkan BMW Operating System 8.5. Ia termasuk BMW Live Cockpit Professional dan panel instrumen BMW yang menyokong pelbagai kaedah interaksi di antara pengguna dan kenderaan ini, iaitu melalui iDrive Controller, suara, sentuhan atau dengan menggunakan Gesture Control.

Selain itu, ia juga diberikan Light Bar dengan struktur permukaan berhablur, serta sistem bunyi keliling Harman Kardon yang turut didatangkan secara standard. Konsol sentral di dalam BMW X5 xDrive50e M Sport baharu juga kini menampilkan tata atur baharu serta butang fungsi sentuh tambahan, dan penukaran gear kini dibuat dengan suis jumpelang (rocker switch).

Bagi aspek keselamatan dan bantuan pemanduan, ia turut dilengkapi dengan ciri-ciri tambahan meliputi BMW Comfort Access, Driving Assistant Professional dan Parking Assistant Professional. Ciri keselamatan lain termasuk lapan beg udara, ABS, EBD, Kawalan Kestabilan, sistem info titik buta, Isofix, sistem brek kecemasan, bantuan kekal lorong, dan amaran pelanggaran.

Untuk warna luarannya, BMW X5 xDrive50e M Sport hadir dengan pilihan Black Sapphire, Manhattan Green, Mineral White, dan Skyscraper Grey. Manakala pilihan bagi upholsteri dalaman dengan pilihan kulit Merino warna hitam dan Tartufo.

Setakat ini, BMW Malaysia masih belum mendedahkan harganya dan tarikh pelancaran untuk pasaran tempatan.

Artikel berkaitan > BMW XM bermula dari RM1.3 juta

(Visited 391 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button