Berita Auto

Pemangku Raja Perlis berkenan naiki bas tanpa pemandu

Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mencuba menaiki ‘Kenderaan Bas Elektrik Berautonomi yakni ‘Autonomous Electric bus’ hasil inovasi yang dibangunkan oleh sebuah syarikat tempatan iaitu eMooVit Technology Sdn Bhd (eMooVit) di Cyberjaya.

Pengalaman tersebut adalah sebahagian daripada aktiviti sampingan yang diaturkan sempena lawatan Tuanku Pemangku Raja Perlis ke ibupejabat Futurise Sdn Bhd yang terletak di Cyberjaya.

Untuk rekod, eMooVit adalah sebuah syarikat pembangunan perisian yang memfokuskan kepada perisian berautonomi untuk kenderaan pengangkutan bandar dan teknologi robotik pertanian. Kesemua kerja-kerja RnD telah dibangunkan menggunakan kepakaran tempatan di Ibu Pejabat eMooVit bertempat di Cyberjaya. Syarikat ini juga merupakan syarikat pertama dan satu-satunya syarikat yang telah mendapat kelulusan dari Kementerian Pengangkutan untuk menjalankan ujian pemanduan kenderaan berautonomi di jalan raya awam.

Terdahulu daripada itu, keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Futurise Sdn Bhd, Rosihan Zain Baharudin..

Turut hadir bagi menyampaikan taklimat bersama Rosihan adalah Ketua Bahagian Perniagaan & Komunikasi, Cyberview, Roni Shah Mustapha dan Ketua Pegawai Eksekutif, eMooVit Technology Sdn Bhd (eMooViT) Dr. Hairi Zamzuri.

Antara perkara yang dikongsikan ialah mengenai organisasi masing-masing seperti halu tuju, pelan jangka masa pendek dan panjang, serta pencapaian terkini. Tuanku Pemangku Raja mengesyorkan supaya ketiga-tiga organisasi ini mengadakan rundingan dengan pihak negeri Perlis khususnya melalui Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang mana Baginda merupakam Canselor untuk melaksanakan sebarang kerjasama strategik dalam masa terdekat ini.

Futurise ialah sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan, yang memainkan peranan aktif sebagai Penasihat Dasar Awam kepada pihak Kementerian dan industri dalam membentuk Malaysia untuk Ekonomi Masa Depan. Futurise telah diberi mandat oleh Kerajaan Malaysia untuk mengetuai inisiatif Kawal Selia Sandbox Negara. Matlamat inisiatif ini adalah untuk mengawal selia dan menggunakan inovasi, dan meningkatkan daya saing keseluruhan Malaysia melalui ekonomi yang dipacu inovasi dan penggubalan dasar adaptif.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan rasa teruja dengan taklimat yang telah dipersembahkan dan Baginda berharap agar agensi-agensi lain akan turut mengembangkan teknologi dan kemajuan masing-masing ke negeri Perlis secara berperancangan supaya hasilnya kelak boleh dinikmati secara bersama oleh rakyat negeri itu.

(Visited 272 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button