fbpx
Jenayah

Tragedi bot dibadai ribut: Mayat kelima ditemukan

Kejadian malam tadi di 10 batu nautika di Jeti Pengkalan Kuala Kemasin

PERKEMBANGAN terkini operasi mencari dan menyelamat (SAR) empat lelaki dilaporkan hilang selepas bot memancing yang dinaiki dibadai ribut malam tadi di 10 batu nautika dari Jeti Pengkalan Kuala Kemasin, Bachok, Kelantan.

Satu lagi mayat mangsa kejadian bot terbalik selepas dibadai ribut ditemukan oleh pasukan SAR pagi tadi, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa tragedi bot terbalik itu setakat ini, lima orang.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Kapten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, mayat mangsa kelima itu dikenal pasti sebagai Ahmad Syafiq Che Alim, 30, ditemukan dalam sebuah bilik di dalam bot berkenaan pada pukul 7 pagi tadi.

Pasukan operasi SAR, kata Muhd Nur Syam, berdepan dengan kesukaran untuk mengeluarkan mangsa dan mengambil masa kira-kira  satu jam kerana ruangan yang sempit serta banyak tali berada dalam bilik berkenaan.

“Bot berkenaan kini hanyut sejauh 18 batu nautika dari Jeti Pengkalan Kuala Kemasin, berbanding kali pertama insiden itu dilaporkan, bot berada pada kedudukan 12.6 batu nautika,” katanya kepada pemberita BERNAMA di Jeti Projek Pemasaran Ikan di Kuala Kemasin, hari ini.


Terdahulu, bot pasukan SAR yang membawa jenazah Ahmad Syafiq tiba di jeti berkenaan pada kira-kira pukul 2.15 petang tadi.

Mengulas lanjut, Muhd Nur Syam berkata, pihaknya memutuskan untuk menunda bot tersebut ke Muara Kemasin bagi memudahkan operasi mencari mangsa yang dikhuatiri masih terperangkap di dalam bot.

Perkara ini, ujar beliau, terpaksa diambil kerana bot malang berkenaan semakin hanyut ke tengah laut dan berkemungkinan akan tenggelam ke dasar jika tiada tindakan pantas diambil.

“Walaupun bot berkenaan sedang ditunda dan dijangka tiba di Muara Kemasin pada lewat petang ini namun APMM masih melakukan operasi di sektor-sektor yang telah ditetapkan dengan menggunakan tiga bot dan sebuah pesawat udara jenis Bombardier,” kata Muhd Nur Syam lagi.

Sementara itu, suasana sedih di bilik mayat hospital apabila ibu Allahyarham Ahmad Syafiq, Ghaniah Deraman, 62, tidak dapat menahan kesedihan ketika melakukan proses pengecaman mayat.

“Saya tok leh kecek (saya tidak dapat nak bercakap). Betul dah ( memang sah, Ahmad Syafiq), dia pakai baju putih,” kata ibu allahyarham.

Semalam, kira-kira pukul 8 malam, bot dinaiki 20 pemancing termasuk tekong dan awak-awak terbalik selepas dibadai rebut di kedudukan kira-kira 10 batu nautika dari Jeti Pengkalan Kuala Kemasin, Bachok, Kelantan.

Sehingga berita ini dilaporkan, lima daripada mereka ditemukan lemas, tiga lagi masih hilang manakala 12 pemancing disahkan selamat dan kesemua mereka berusia dalam lingkungan 18 sehingga 60 tahun.

Selain allahyarham Ahmad Syafiq, mangsa yang disahkan meninggal dunia ialah Mohd. Syahrizan Daud, 40-an, Muhamad Zaki Muhamad Nordin, 19, Wan Aminudin Wan Hussin, 60-an dan seorang warga Thailand yang hanya dikenali sebagai Pokta, 50-an.

Tiga lagi mangsa yang belum ditemui ialah Arman Ismail, 43, Harun Daud, 60-an dan Che Wadi Bakar, 40-an. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button