KesihatanNasional

Tidak benar penggunaan katil ICU di Melaka cecah 54%

MELAKA 23 Feb. – Dakwaan bahawa penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan alat bantuan pernafasan (ventilator) di negeri ini mencecah sehingga 54 peratus seperti yang didakwa oleh sebuah portal berita adalah tidak benar.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, setakat semalam kadar pengunaan katil ICU bagi pengurusan kes Covid-19 di negeri ini berada pada tahap 34.2 peratus sahaja.

Beliau berkata, seramai 13 pesakit sahaja masih menjalani rawatan di ICU iaitu 12 daripada mereka di Hospital Melaka manakala satu lagi di Hospital Jasin.

Jelasnya lagi, penggunaan katil pula keseluruhan sebanyak 38 buah iaitu di Hospital Melaka sebanyak 30, Jasin (6) dan Hospital Alor Gajah (2) manakala alat bantuan penafasan yang digunakan pula sebanyak tujuh buah sahaja.

“Pengunaan katil ICU di semua hospital di negeri ini tidak membimbangkan kerana kebanyakkan mereka yang positif Covid-19 adalah pada tahap 1 dan tahap 2.

“Kesemua mereka menjalani kuarantin diri hanya di rumah dan bukannya di Hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.

“Dakwaan penggunaan katil ICU hingga mencecah 54 peratus, itu adalah berita tidak benar,” ujarnya di sini hari ini.

Mengulas lanjut Muhamad Akmal berkata, kadar penggunaan katil di hospital kerajaan di negeri ini pula pada tahap 59.3 peratus iaitu sebanyak 243 katil melibatkan sebanyak 144 pesakit.

Bagi penggunaan katil di hospital swasta pula kata beliau, sebanyak 83 katil disediakan dan setakat ini tidak ada pesakit Covid-19 menerima rawatan di situ.

Bagi PKRC pula katanya, pengunaan katil adalah sebanyak 1,049 dan setakat ini seramai 572 pesakit masih di tempatkan di situ dan kadarnya adalah sebanyak 54.5 peratus. -SM

(Visited 196 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button