Nasional

Buku panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilancar esok

Menjelang Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada hujung bulan ini, buku panduan pelan imunisasi akan dilancarkan esok.

Pelancaran buku itu oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dijadualkan pada 9.30 pagi, dimaklumkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) melalui ciapan di laman Twitter hari ini.

Menurut infografik yang dimuat naik oleh JKJAV, pelan imunisasi itu merangkumi penerangan mengenai empat komponen utama iaitu bekalan vaksin, kumpulan sasaran fasa pemberian vaksin, lokasi dan kaedah pelaksanaan program dan tenaga kerja pelaksanaan program imunisasi berkenaan.

JKJAV turut meminta orang ramai memuat turun aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan maklumat berhubung pendaftaran vaksinasi berkenaan.
Pada 4 Februari lalu, perdana menteri berkata kerajaan akan memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mulai hujung bulan ini, dengan kerajaan menyasarkan 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu menerima vaksin yang akan diberikan secara percuma dalam tiga fasa.
Fasa pertama bermula Februari hingga April adalah untuk 500,000 petugas barisan hadapan yang terbabit secara langsung dalam memerangi wabak itu.
Fasa kedua, April hingga Ogos pula bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi selain golongan orang kurang upaya (OKU).

Sementara fasa ketiga adalah bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas dari Mei ini hingga Februari tahun depan.

Pada Jumaat lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata proses pendaftaran sebagai penerima vaksin Covid-19 bagi orang ramai dijangka dibuka bermula Mac ini dan dilaksanakan dengan konsep sukarela.-SM

(Visited 231 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button