fbpx
NasionalPolitik

Hannah Yeoh jawab kritikan

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Hannah Yeoh menjawab kritikan beberapa pihak yang mengecam tindakan beliau membaca senarai nama Ahli Pembangkang yang tidak menyokong peruntukan membabitkan kementeriannya di Parlimen Selasa lalu.

Dalam satu kenyataan, Hannah menyifatkan tindakan memainkan isu ketidakhadiran Ahli Parlimen PH di dalam Parlimen adalah sebagai percubaan untuk mengalih isu tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang tidak menyokong peruntukan tersebut.

Hannah berkata, ketidakhadiran 107 Ahli Parlimen kerajaan ketika sesi pengundian dilakukan tidak boleh disamakan dengan tindakan 28 Ahli Parlimen pembangkang yang tidak bersetuju.

Dalam kenyataan tersebut Hannah bagaimanapun tidak menyebut sebarang alasan mengapa 107 Ahli Parlimen kerajaan tidak berada dalam Dewan Rakyat pada waktu itu sehingga hampir menyebabkan peruntukan kementeriannya hampir tidak diluluskan.

Berikut kenyataan penuh Hannah:


Selepas saya membuat sidang media membacakan senarai nama Ahli Parlimen BN dan PAS yang tidak menyokong peruntukan Kementerian kami, saya melihat ramai penyokong BN sibuk melakukan damage control apabila cuba mengalih perhatian umum dengan memainkan isu ketidakhadiran Ahli Parlimen PH di dalam Parlimen. Biar saya menjawab spin mereka:

(1) Kehadiran Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang boleh dipertingkatkan. Kalau hendak mainkan isu senarai Ahli Parlimen yang tidak hadir pada malam itu – jangan kita lupa nama Najib Razak, Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein, Hadi Awang, Tuan Ibrahim dan Wee Jeck Seng (yang baru dilantik untuk mewakili Tanjung Piai) juga.

(2) Tidak hadir ke dalam dewan tidak boleh disamakan dengan mereka 28 Ahli Parlimen BN dan PAS yang hadir tetapi telah mengundi untuk TIDAK BERSETUJU dengan belanjawan Kementerian kami. Mereka ini secara terang-terangan telah mengundi tidak bersetuju dan cuba menggagalkan peruntukan untuk golongan miskin yang sangat memerlukannya.

(3) Ada juga 2 Ahli Parlimen GPS yang hadir tetapi memilih untuk berkecuali. Mereka ini lebih bijak berbanding 28 Ahli Parlimen BN + PAS. Mereka tidak menentang kerana mereka tahu ini adalah peruntukan untuk kebajikan.

(4) Ada juga penyokong BN yang mendakwa PH juga pernah mengundi tidak bersetuju dengan Belanjawan yang dibentangkan oleh BN zaman dulu. Itu adalah untuk KESELURUHAN Belanjawan yang dibentangkan oleh Najib Razak yang tidak dipercayai oleh rakyat (termasuk 1MDB dan gaya pentadbiran yang terbukti banyak pembaziran dan penyelewengan). Ini berbeza dengan malam 26 Nov yang lalu di mana peruntukan spesifik untuk bantuan kebajikan Kementerian kami telah ditolak secara bertulis oleh 28 Ahli Parlimen ini!

(5) Ada juga penyokong BN mengatakan mereka ini mengundi tidak setuju kerana mereka meminta peruntukan yang lebih tinggi. Walhal, tiada pertikaian fundamental tentang peruntukan yang telah dibentangkan semasa perbahasan. Inilah masalahnya apabila mereka tidak membaca buku Belanjawan 2020 dan hanya berminat main politik sahaja. Kementerian kami telah menerima kenaikan 4.44% untuk Belanjawan 2020 berbanding tahun lepas. Ini adalah penambahan sebanyak RM105,036,090 untuk golongan sasar kami. Itu pun ada yang tak nak sokong?

Jadi nasihat saya, terimalah hakikatnya bahawa selama-lamanya 28 Ahli Parlimen BN dan PAS ini telah mengundi TIDAK BERSETUJU peruntukan untuk kebajikan. Ini adalah fakta. Itu adalah hakikatnya. Nama mereka akan tercatat dalam sejarah sebagai Ahli-Ahli Parlimen yang tidak bersetuju dengan peruntukan kebajikan untuk orang miskin yang sangat memerlukan. Spin tahap mana pun tidak dapat mengubah hansard pada malam itu.

Hannah Yeoh

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button