Nasionalpilihan

Peniaga didenda RM23,000 kerana komen jelek nahas helikopter TLDM

MAHKAMAH Sesyen Taiping menjatuhkan hukuman denda RM23,000 kepada seorang peniaga selepas dia mengaku bersalah memuat naik komen jelik berhubung nahas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, yang mengorbankan 10 mangsa.

Tertuduh, Mohd Saifuddin Shafik, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.
Dia turut membuat permohonan maaf kepada anggota keluarga mangsa, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta seluruh rakyat Malaysia dan menyatakan kekesalannya kerana membuat hantaran itu.
Memetik Astro Awani, berdasarkan pertuduhan, pemilik akaun X (Twitter) Saifuddin Shafik@saishafik itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya kira-kira jam 1.15 tengah hari, 23 April lalu.
Ia membabitkan tulisan: “Baru raptai dah mampus. Tak sempat nak pergi perang”, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, yang dibaca di sebuah kedai di Pusat Bandar Bagan Serai kira-kira jam 6.30 petang, hari yang sama.
Dia didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Wan Azimah Yaacob manakala tertuduh diwakili Peguam Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun dan Amin Othman.
Mohd Hafarizam dan Amin memohon anak guam mereka tidak dikenakan hukuman penjara kerana mengalami simptom penyakit Bipolar Disorder di samping perlu menanggung seorang isteri dan kedua ibu bapa.
Wan Azimah bagaimanapun meminta hukuman berat supaya boleh mengekang hantaran-hantaran jelik yang telah banyak kali berlaku dan menjadi pengajaran kepada orang lain.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM23,000 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.
Hakim Nabisha berharap hukuman itu boleh menjadi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam lain supaya menggunakan media sosial secara berhemah.
(Visited 73 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button