NasionalNegeriRencah Hidup

Raja Muda berkenan ketuai Pogram Kayuhan ‘MAIPs Peduli Khas’ sempena Hari Kanser Sedunia

RAJA  Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengetuai pogram kayuhan berbasikal ‘MAIPs Peduli Khas’ mengambil sempena memperingati Hari Kanser Sedunia pada 4 Februari setiap tahun di mana bermula dan berakhir di pekarangan Masjid Jabal A’la, Kampung Melayu, Kaki Bukit, petang semalam.

Program anjuran Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis.

Baginda diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah JKN Perlis, Dr Ismuni Bohari.

Dalam sesi taklimat sebelum kayuhan bermula, Dr Ismuni menerangkan bahawa tahap kesihatan mental mampu memberikan impak kepada sistem immunisasi tubuh seseorang pesakit kanser khususnya mereka yang sedang menjalani rawatan kemoterapi.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru orang ramai agar memainkan peranan dalam memberikan sokongan moral kepada penghidap penyakit kanser agar mereka dapat terus menjalankan gaya hidup yang berkualiti.

Dr Ismuni menjelaskan kehidupan yang berkualiti merangkumi beberapa komponen penting khasnya pemakanan di mana setiap individu digalakkan mengambil makanan yang seimbang.

Selain itu, beliau menambah amalan aktiviti kecergasan, tidak merokok atau mengambil minuman beralkohol juga mampu mengurangkan risiko penyakit kanser yang lazimnya diwarisi secara genetik.

“Sambutan Hari Kanser Sedunia ini adalah bagi menyebarkan kesedaran tentang bahaya kanser yang semakin meningkat dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko menghidap penyakit ini antaranya menjalani ujian pengesanan awal untuk kanser prostat dan paru-paru yang lazim di kalangan lelaki dan kanser payudara yang sinonim dengan wanita.

“Bagi mereka yang telah menghidap kanser, program hari peringatan ini bertujuan memberikan sokongan moral supaya mereka berada dalam tahap kesihatan mental yang baik.

“Ini amat penting kerana dikhuatiri tahap emosi yang negatif akan mampu mempengaruhi keseluruhan sistem imunisasi sekaligus boleh menyebabkan mudarat setelah menerima rawatan kemoterapi,” jelas beliau.

Bersempena kayuhan kali ini Raja Muda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs berkenan singgah menyantuni tiga rumah asnaf di sekitar Kampung Melayu, Kaki Bukit.

Ia melibatkan rumah yang didiami, Mohamed Ali Mohad Rosid, 77, yang tinggal bersama lapan ahli keluarga, Halimah Ibrahim, 84 yang mempunyai masalah kesihatan seperti strok, asma, darah tinggi dan kolestrol serta Jefri Zain, 55, yang sakit telantar di samping menanggung seorang sepupu OKU yang juga sakit telantar.

Masing-masing menerima RM700 tunai, beras dan bahan makanan mentah sumbangan MAIPs yang berkenan disampaikan oleh Raja Muda. – SM

(Visited 177 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button