Nasionalpilihan

1,700 pekerja sektor GIG ekonomi belum carum Perkeso

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka mengesan hampir 30 peratus daripada 5,500 pekerja sektor GIG ekonomi masih belum berdafar dan mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Pengarahnya, Abd. Razak Omar berkata, setakat ini mereka yang mendaftar dan mencarum dengan SKSPS adalah seramai 3,800 orang daripada 5,500 orang.

Menurutnya, Perkeso akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi menjalankan penguatkuasaan untuk
memastikan kira-kira 1,700 orang lagi akan didaftarkan di bawah SKSPS.

Di samping itu beliau berkata, Perkeso juga akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap majikan atau penyedia perkhidmatan sektor ekonomi GIG yang gagal
memastikan semua pekerja mereka sentiasa dilindungi.

“Kerajaan telah mewajibkan semua pekerja di sektor GIG ekonomi yang bekerja sendiri seperti menghantar barangan dan makanan (delivery riders), pemandu dan
penunggang e-hailing mencarum di bawah SKSPS.

“Walaupun kerajaan memberi subsidi sebanyak 80 peratus dan mereka cuma perlu membayar RM42.70 setahun tetapi masih ramai tidak ambil peduli.

“Walaupun jumlah tak besar tetapi manfaat adalah sangat tinggi. Kita tak nak apabila berlaku musibah mereka kehilangn punca pendapatan dan menjadi miskin
tegar,” ujarnya kepada pemberita selepas Penyampaian Faedah Skuad Perkeso Prihatin di Jalan Gajah Berang di sini hari ini.

Pada program tersebut Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong menyampaikan Pencen Ilat berjumlah RM490.82 dan Elaun Layanan Sentiasa (ELS) sebanyak RM500
kepada balu mendiang Ong Sai Guan yang meninggal dunia akibat sakit kanser.

Mengulas lanjut Abd. Razak berkata, pendaftaran orang bekerja sendiri lebih tinggi pada tahun ini berjumlah 9,768 berbanding 6,500 pada tahun lalu.

Katanya, bilangan kes tuntutan kemalangan adalah sebanyak 141 kes dan jumlah bayaran setakat ini sebanyak RM428,917.66.

Menurutnya, Perkeso juga akan memastikan golongan nelayan, penjaja, pengedar surat khabar dan sebagainya mendaftar serta membuat caruman di bawah SKSPS.

“Kalau boleh saya nak semua orang Melaka yang bekerja dalam sektor apa sekalipun mencarum dengan Perkeso untuk perlindungan mereka,” ujarnya. – SM

(Visited 43 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button