BanjirBencana alamNasionalpilihan

232,000 Pekebun Kecil Getah RISDA layak terima Bantuan Musim Tengkujuh

SEJUMLAH 232,000 Pekebun Kecil getah berdaftar di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan menerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) tahun ini.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, BMT tahun ini akan dibayar kepada pekebun kecil sebanyak RM300 sebulan bagi bulan November dan Disember.

“Sekarang dah siap (senarai penerima), jumlah penerima itu dah ada, cuma kita tunggu peruntukan, kalau peruntukan itu masuk kita bayar, tak terjejaslah, bayaran itu memang berjalan. Insha-Allah kita bayar.

“Untuk tahun ini, itu dasar sedia ada yang kita guna bagi tujuan pembayaran BMT tetapi kerajaan telah bersetuju untuk menaikkan kadar BMT tahun 2023 daripada RM600 sekarang kepada RM800”.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pekebun Kecil RISDA Makmur Peringkat Negeri Pahang di Dewan Terbuka Kampung Mela di Lipis hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri I KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal.

Jelas Mahdzir, bayaran BMT tahun ini membabitkan peruntukan berjumlah RM191 juta.

Sementara itu Mahdzir berkata, Program Tanam Semula Getah setakat ini telah mencapai lebih 10 ribu hektar melibatkan 7,180 Pekebun Kecil dengan bayaran berjumlah hampir RM61.6 juta.

Tahun ini katanya RISDA menerima permohonan untuk tanam semula semula getah seluas 18,524 hektar daripada 12,381 pekebun kecil.

“Walaupun sektor getah berdepan dengan pelbagai cabaran, saya percaya peningkatan keluasan penanaman getah ini adalah berikutan peningkatan nilai bantuan kepada RM13,710 bagi Semenanjung Malaysia berbanding RM9,230 sebelum ini yang telah menarik minat ramai pemilik tanah untuk mengusahakan tanaman getah”.

Pada majlis yang sama, Mahdzir turut menyampaikan dividen Program Tanam Semula Komersil (TSK) RISDA peringkat negeri Pahang yang berjumlah lebih RM39 juta.

Dividen tersebut adalah hasil pulangan melalui pengurusan yang cekap oleh RISDA Plantation Sdn Bhd kepada 5,590 orang peserta projek TSK seluruh negeri Pahang. – SM

Artikel berkaitan > Skim BMT untuk Pekebun Kecil RISDA ditambahbaik

(Visited 326 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button