Sukan

Nuralif juarai PNAGS di AKCC, Melaka

Pemain kelahiran Melaka, Nuralif Mohd. Zahari dengan handikap 5 muncul juara Kategori A pada Pusingan Kelayakan Siri Kejohanan Golf Amatur Perodua (PNAGS) 2024 berlangsung di Ayer Keroh Country Club (AKCC), Melaka pada Khamis lepas.

Walaupun tanpa sebarang catatan birdie namun ia tidak menghalang Nuralif muncul juara dengan catatan 74 net sekali gus melayakkan diri ke pusingan akhir di Forest City Resort, Johor pada September ini.

Dia sekadar mencatat 12 par, lima bogey dan satu double bogey namun sudah cukup menjuarai kategori A.

Bagi kategori B pula, Ishak Rahman dengan handikap 7 pula muncul juara dengan catatan 71 net.

Dia membenam satu birdie dilubang ke-10, 12 par, tiga bogey dan dua double bogey.

Peserta bergambar sebelum memulakan saingan pusingan kelayakan Siri Kejohanan Golf Amatur Perodua (PNAGS) 2024 di Ayer Keroh Country Club (AKCC), Melaka.

Muhammad Salleh Ghani dengan handikap 12 pula muncul juara kategori C dengan catatan 68 net tanpa sebarang birdie dia membenam 10 par dan lapan bogey.

Bagi kategori D pula dimenangi Tan Kok Haw dengan handikap 16 dengan catatan 68 net (ocb) mengatasi tiga lagi pemain yang turut melakukan 68 net manakala Ismail Othman dengan handikap 21 muncul juara kategori E dengan catatan 68 net.

Kesemua pemain tersebut mengesahkan kemaraan ke pusingan akhir yang akan berlangsung di Forest City Resort, September ini.

Seramai 100 pemain bersaing di lapangan AKCC yang dianggap pemain paling sukar untuk dijinakkan.

Setakat ini, sebanyak empat daripada 14 pusingan telah dilalui dalam usaha mencari pemain amatur negara terbaik yang akan beraksi di Kejohanan Pemain Golf Amatur Dunia (WAGC) di Phuket, Thailand dari 25 Oktober hingga 2 November ini.

Pengerusi Penganjur, Lokman Ishak berkata, siri PNAGS adalah satu-satunya pertandingan golf yang memberi peluang kepada pemain amatur tempatan untuk mempamerkan bakat mereka dan bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Pemenang lima kategori di setiap negeri akan layak secara automatik ke peringkat akhir kebangsaan yang akan berlangsung di Forest City Golf Resort, Johor.

“Lima juara kebangsaan bagi setiap kategori itu akan mewakili Malaysia di Kejohanan Pemain Golf Amatur Dunia (WAGC) dengan semua perbelanjaan ditanggung oleh pihak penganjur,” katanya.

Beliau berkata, WAGC edisi ke-28 akan berlangsung di Phuket, Thailand dari 25 Oktober hingga 2 November membabitkan pemain amatur terbaik daripada 40 buah negara dari seluruh dunia.

“Ini adalah peluang terbaik buat lima pemain amatur yang akan mewakili Malaysia mempamerkan aksi terbaik untuk bergelar juara nanti,” katanya.

Kejohanan PNAGS diiktirafkan oleh Persatuan Golf Malaysia (MGA) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut mendapat sokongan Tourism Malaysia.

Perodua selaku penaja utama PNAGS dengan penaja bersama termasuk Spectrum Outdoor, Volvik, VIN Distribution, Skechers Golf, dan Fella Design.

Penaja lain termasuk Malaysia Aviation Group (Malaysia Airlines, MASwings, dan Firefly), Gatorade, Bleu, Wonda Coffee, Sting, IROAS Watch, Hospitality 360, Jakes Charbroil, Le Botanical, Throatsil, Acti-Tape, PATHLAB, Munchy’s, dan Vanakam Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Lokman Bin Ishak di 010 2010835 atau e-mel: [email protected] – SM

(Visited 257 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button