fbpx
Sukan

Hoki rangka strategi NHDP untuk gilap bintang hoki masa depan

Satu dekad selepas Program Hoki 1Mas diperkenalkan bertujuan membangunkan lebih ramai pemain pelapis, Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) kini semakin hampir untuk melancarkan Program Pembangunan Hoki Kebangsaan (NHDP).

Program Hoki 1Mas itu mempunyai kisah kejayaan tersendiri apabila berjaya melahirkan pemain muda seperti Mohamad Akhimullah Anuar Esook, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal dan Muhammad Noor Firdaus Rosdi untuk bermain dalam pasukan senior kebangsaan sebelum ia dihentikan pada 2018 kerana isu pendanaan (awalnya dirancang bagi tempoh lima tahun), dan NHDP diperkenalkan pada tahun yang sama.

Difahamkan, versi NHDP yang ditambah baik, sebuah kolaborasi antara MHC, Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Pendidikan dan Persatuan Hoki Negeri akan dijalankan dengan anggaran peruntukan kira-kira RM2 juta setahun, selaras dengan Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) dan Program Pembangunan Ragbi Kebangsaan (NRDP).

Berbekalkan pengalaman daripada Program 1Mas, Timbalan Presiden MHC Prof Dr Datuk S. Shamala berkata badan induk hoki negara itu mempertingkatkan NHDP untuk hasil yang lebih baik, iaitu mempunyai asas yang kuat untuk pemain mewakili skuad Speedy Tigers pada masa hadapan.

Kira-kira 3,800 hingga 4,000 lelaki dan perempuan berumur bawah (B) 12 tahun, B14 dan B16 dijangka berpeluang untuk bermain, berlatih dan bersaing secara sistematik di pusat NHDP, kebanyakannya di sekolah yang diuruskan oleh 16 anggota gabungan MHC termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Sehubungan itu, MHC menganjurkan bengkel tiga hari lepas untuk bertukar pendapat dan mendapatkan maklum balas daripada anggota gabungannya sebelum program itu dijangka dilancar oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merica pada awal September.

Antara kelemahan yang dikenal pasti daripada program terdahulu adalah MHC membiarkan koordinator pusat tempatan memutuskan penilaian dan pemantauan program serta pemilihan pemain, selain program itu sendiri tidak diketahui orang ramai secara meluas.

“Selepas mendapat maklum balas daripada bengkel, antara aspek yang perlu dipertingkatkan ialah pemantauan dengan bantuan media sosial, memastikan standard berada pada tahap yang baik, meningkatkan nisbah jurulatih kepada pemain, pemilihan pemain secara terbuka dan memberi peluang kepada mereka untuk bermain dalam lebih banyak perlawanan kompetitif, tidak semestinya pada kejohanan hebat tetapi juga perlawanan persahabatan dengan sekolah atau pusat lain yang berdekatan.

“Setiap negeri akan mempunyai satu atau lebih pusat berdasarkan keadaan geografi, ATM dan PDRM juga akan memainkan peranan mereka. Kami menerima cadangan yang baik supaya ATM menjadikan Sekolah Kebangsaan (SK) TUDM Subang, sebagai pusat NHDP manakala PDRM sedang mencari kaedah lain.

“Dari segi penilaian, pengarah teknikal baharu kami yang akan dilantik tidak lama lagi akan selalu berhubung dengan koordinator pusat dan jurulatih serta bertanggungjawab memastikan jurulatih memahami tahap hoki yang kami harapkan dan sesuai dengan falsafah pasukan kebangsaan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Akademi Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini baru-baru ini.

Shamala berkata selain mewujudkan kumpulan pemain yang lebih besar untuk pasukan negara, NHDP juga penting untuk mengasah bakat skuad hoki lima sebelah untuk bersaing dalam kejohanan seperti Sukan Olimpik Remaja yang Malaysia pernah meraih pingat emas pada 2018 di Buenos Aires.

Shamala yang mengetuai jawatankuasa teknikal NHDP dalam merancang program, menekankan bahawa pusat 1Mas sedia ada di sekolah-sekolah akan diteruskan di bawah program penjenamaan semula, manakala jurulatih juga diminta untuk melakukan pemilihan pemain secara terbuka dari sekolah lain dalam zon mereka.

Sementara itu, para jurulatih yang juga separuh masa, dijangka menerima gaji lebih rendah kerana MHC mengikuti skala tetap Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) berbanding kaedah terdahulu iaitu bayaran berdasarkan kad laporan.

“Tetapi, sekiranya kami mengenal pasti jurulatih yang bagus, kami akan mempercepat kenaikan dengan jawatankuasa jurulatih mengadakan kursus untuk mereka sehingga tahap dua. Pengetahuan mengenai sains sukan juga penting buat mereka,” katanya. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button