Politik

GTA mahu buat kejutan di Melaka

Gerakan Tanah Air (GTA) mensasarkan untuk menang di lima kerusi Parlimen di negeri ini yang ditandingi calon-calon daripada parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Pengerusi GTA Melaka, Muhammad Nazriq Abdul Rahman berkata, sasaran itu dianggap realistik walaupun pada dasarnya ramai calon yang ditampilkan adalah muka baharu yang pertama kali bertanding kali ini.

Menurutnya, lima kerusi yang ditandingi calon GTA di Alor Gajah, Masjid Tanah, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya dan Tangga Batu.

“Calon GTA ada peluang cerah untuk menang kerana calon-calon ini mempunyai kriteria untuk menang. Apa yang paling penting gerak kerja jentera selepas penamaan calon esok harus ditingkatkan.

“Tidak mustahil kita mampu melakar kejutan dan kini terserah kepada pengundi-pengundi untuk menang. Mengapa tidak berikan kami peluang untuk menang insyallah banyak pembaharuan akan kami bawa,” ujarnya dalam sidang akhbar memperkenalkan lima calon GTA di sebuah hotel di Ayer Keroh malam tadi.

Muhammad Nazriq yang dicalonkan bertanding di Alor Gajah berkata, empat lagi calon yang bertanding terdiri daripada Handrawirawan Abu Bakar (Masjid Tanah), Lt. Kol (B) Ghazali Abu (Tangga Batu), Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh (Hang Tuah Jaya) dan Datuk Mohd. Daud Nasir (Jasin).

Menurutnya, parti itu menyenaraikan calon wibawa daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) seramai tiga calon, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) masing-masing satu calon.

Katanya, mereka yang dipilih membawa cabaran GTA terdiri dalam kalangan golongan profesional, bekas tentera, ahli perniagaan, peguam dan badan bukan kerajaan (NGO) yang dilihat berkelayakan dipilih oleh rakyat di negeri ini.

Dalam pada itu beliau berkata, manifesto GTA akan diumumkan dalam masa terdekat di peringkat Parlimen oleh calon yang bertanding.

“Antara manifesto paling utama ditawarkan parti itu adalah kepimpinan baharu yang bebas bersih dari rasuah dan mengangkat agenda memperkasa orang Melayu dan bumiputera dalam bidang ekonomi dan sebagainya,” ujarnya. – SM

(Visited 407 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button