Nasional

Projek HSR diteruskan semula jika BN menang

Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) bersama Singapura akan diteruskan semula jika rakyat memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, projek tersebut yang sebenarnya dapat memberi banyak manfaat khususnya rakyat di Melaka ditangguhkan dan dibatalkan sewaktu kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah sepanjang 22 bulan itu.

Beliau yang juga Presiden MCA berkata, bagi merealisasikan hasrat untuk projek HSR itu diteruskan semula kini bergantung kepada rakyat untuk membuat pilihan yang tepat memberi mandat kepada BN menang dalam PRU15 ini.

“Jika BN menang kerajaan akan pastikan rundingan baharu dengan Singapura akan diadakan semula bagi projek HSR ini dilaksanakan semula.

“Sewaktu zaman PH memerintah mereka tangguhkan projek ini dan timbul banyak isu sehingga persetujuan dibuat untuk membatalkan projek ini.

“BN berjanji tidak seperti PH sebelum menang PRU14, mereka ini menjanjikan bulan dan bintang yang akhirnya mereka sendiri tidak dapat laksanakan,” ujarnya kepada pemberita selepas menghadiri Program Walkbout di Pasar Malam Kampung Lereh, Tangga Batu di sini malam tadi.

Hadir sama calon Parlimen Tangga Batu, Datuk Lim Ban Hong, Shahril Sufian Hamdan (Alor Gajah) dan Kon Qi Yao (Kota Melaka).

Malaysia dan Singapura memeterai perjanjian dua hala untuk melaksanakan projek HSR pada 13 Disember 2016. Projek sepanjang 350 kilometer yang dijadualkan siap pada 2026 itu dijangka memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar raya kepada 90 minit.

Bagaimanapun, pembinaan projek itu ditangguhkan pada September 2018 dan pada 31 Mei 2020, kedua-dua kerajaan bersetuju menangguhkan pembangunan projek dua hala bernilai RM110 bilion itu sehingga 31 Disember 2020.

Pada 1 Januari 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan bersama penamatan projek HSR apabila kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan bagi perubahan yang dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.

Dalam pada itu calon BN Parlimen Ayer Hitam berkata, cadangan kerajaan Melaka untuk membina perkhidmatan pengangkutan awam Tram akan diteruskan jika BN mendapat mandat membentuk kerajaan pada PRU15 ini.

Menurutnya, cadangan itu telah dibincangkan dan hasrat itu dapat direalisasikan jika wujud kestabilan dan keserasian di antara kerajaan Persekutuan dengan negeri kerana cadangan itu telah dibincangkan sebelum ini.

“Kita perlukan mandat yang lebih besar untuk mendapatkan kepercayaan pengundi agar perkara ini dapat direncanakan dengan lebih baik untuk kebaikan rakyat di Melaka,” ujarnya.

Selain itu katanya, perkhidmatan bas henti-henti di negeri ini juga akan berubah dengan mewujudkan Program Transformasi Bas Henti-Henti (SBST) bagi menyelaras semula kemudahan pengangkutan awam itu. – SM

(Visited 170 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button