Politik

MCA mahu Lokman mohon maaf secara terbuka

KUALA LUMPUR – MCA kecewa dengan kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Adam di mana beliau telah melabelkan parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA dan MIC kononya sebagai “biawak hidup”.

Jurucakap MCA, Mike Chong Yew Chuan menyifatkan kenyataan sebegini sebagai amat sombong, dan tidak selari dengan semangat Barisan Nasional yang dipegang semua parti komponen sejak zaman kemerdekaan lagi.

Tegasnya, fitnah tidak berasas yang dilemparkan oleh Lokman dalam satu wawancara telah mencemarkan integriti dan imej MCA dan MIC di kalangan umum.

Lantaran itu, MCA menggesa supaya Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN supaya meminta Lokman memohon maaf secara terbuka.

Beliau mengulas dakwaan Lokman bahawa UMNO seperti memikul biawak hidup komponennya seperti MCA dan MIC termasuk parti-parti yang tidak menyumbang kepada kemenangan BN sejak kebelakangan ini.

Mike berkata, antara punca MCA dan MIC telah gagal menarik sokongan kerana wujudnya segelintir pemimpin UMNO yang kurang matang dan tidak bertanggungjawab seperti Lokman yang bukan sahaja memperlekehkan kerjasama dan hubungan utuh antara komponen BN, tetapi juga sering membuat kenyataan yang tidak diterima baik oleh masyarakat umum sehingga menyebabkan pengundi menolak BN sejak beberapa pilihan raya yang lalu.

“Memandangkan Lokman  telah menyatakan secara terang pandangan beliau terhadap MCA dan MIC, oleh itu di dalam semangat demokrasi beliau dipelawa memohon kepada parti beliau untuk menarik diri daripada BN dan menyertai gabungan Pakatan Harapan secara rasmi,” ujarnya.

Tambah Mike, MCA sentiasa menjunjung semangat BN sejak zaman kemerdekaan lagi, bersama-sama dengan rakan seperjuangan kami dalam UMNO dan MIC biar apa jua halangan dan cabaran yang dihadapi sepanjang masa ini.

Tegas beliau, semangat kekeluargaan antara parti inilah yang membolehkan Perikatan, dan kemudiannya Barisan Nasional, dapat mengharungi segala cabaran sehingga hari ini,” ujarnya.

(Visited 82 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button