Politik

Piagam Rakyat letak calon Bebas pada pilihan raya akan datang

SEBUAH gerakan rakyat yang diberi nama Piagam Rakyat menggerakkan ke arah politik baharu negara yang tidak tertumpu kepada kepartian tetapi lebih tertumpu menjaga kepentingan rakyat, bakal meletakkan calon pada pilihan raya akan datang.

Peguam Haniff Khatri berkata, Piagam Rakyat ditubuhkan setahun lalu selepas melihat semakin kurangnya rasa yakin rakyat terhadap sistem parti dan mula mempertikaikan demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Defisit keyakinan itu, ujar beliau, berpunca daripada tindak-tanduk pemimpin politik yang mengkhianati kepercayaan pengundi termasuk melompat dari satu parti ke satu parti untuk kepentingan peribadi semata-mata.

Selain itu, jelas beliau, terdapat juga rakaman perbualan mesyuarat parti yang dibocorkan tidak langsung membincang soal kepentingan rakyat tetapi hanya tertumpu kepada kepentingan parti.

Sehubungan itu, Haniff selaku wakil gerakan itu berkata, Piagam Rakyat pada peringkat awal akan mendidik masyarakat dan membina keyakinan terhadap calon Bebas untuk mewakili mereka dengan lebih berkesan berbanding sistem yang diamalkan selama ini.

Sistem parti, kata beliau, semakin menjadi tidak berkesan kerana rakyat tidak berpeluang memilih pemimpin yang benar-benar berkaliber, tetapi terpaksa memilih berdasarkan parti.

Piagam Rakyat, jelas beliau, terdiri daripada pelbagai individu yang berlatarbelakang pelbagai, termasuk yang kini menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri.

 

FALSAFAH PIAGAM RAKYAT

1) Kegagalan demi kegagalan oleh pentadbiran kerajaan semasa dan beberapa siri kerajaan terdahulu telah menambah defisit kepercayaan rakyat ke tahap rendah hari ini; sehingga ramai yang mulai mempertikai keberkesanan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang telah dianuti oleh negara semenjak merdeka.

2) Piagam Rakyat dicadangkan bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada institusi tadbir urus negara, dengan pendekatan baharu yang tidak bertentangan dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan. Dengan falsafah “daripada rakyat untuk rakyat”, Piagam Rakyat meletakkan kualiti kepimpinan individu jauh mengatasi politik kepartian.

3) Falsafah Piagam Rakyat ini digarap daripada kesepakatan anggota masyarakat yang pelbagai, yang boleh kekal dengan idealisme dan halatuju masing-masing tetapi boleh tetap bersama dalam gerakan mereformasikan amalan politik yang kotor dan rosak.

4) Falsafah Piagam Rakyat tidak terhad kepada menyediakan Manifesto Pilihanraya semata-mata, tetapi merupakan perjuangan berterusan bagi membudayakan sistem demokrasi yang benar-benar telus, sihat, dan progresif demi kepentingan rakyat dan kesejahteraan negara.

5) Piagam Rakyat bukanlah sebuah parti politik, tetapi merupakan gabungan solidariti yang berhasrat memfasilitasi dan meletakkan calon pilihan raya untuk bertanding di atas tiket Bebas tetapi dipandu oleh falsafah Piagam Rakyat.

(Visited 973 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button