Politik

Saman cabar pelantikan: Azalina serah kepada mahkamah

TIMBALAN Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said berkata beliau akan menyerahkan kepada mahkamah mengenai kedudukannya dalam Dewan Rakyat.

Ini susulan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama empat ahli Parlimen mengemukakan permohonan di mahkamah bagi mencabar pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan dan Azalina di Dewan Rakyat.

Menuurt Azalina sebagai seorang pengamal undang-undang beliau menyerahkan kepada pihak mahkamah bagi mengadili perkara tersebut.

“Memandangkan perkara pada masa ini berada dalam pertimbangan Mahkamah, saya juga sebagai seorang pengamal Undang-undang, menyerahkan kepada pihak Mahkamah bagi mengadili perkara tersebut,” kata Azalina.

Sementara itu Azalina menjelaskan, menurut Perkara 63 (1) Perlembagaan Persekutuan, kesahan apa-apa prosiding di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen atau dalam mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah.

“Mahkamah Tertinggi dalam keputusan terhadap kes bekas Speaker DUN Perak V. Sivakumar dan Datuk R. Ganesan memutuskan bahawa, sesuatu yang tidak boleh dipertikaikan ialah Dewan mempunyai kuasa untuk memilih atau memecat Speaker dan isu siapa yang dilantik secara sah sebagai Speaker adalah terletak di luar bidang kuasa Mahkamah untuk membuat penghakiman.

“Malah, YB Teluk Intan telah meletak jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum usul pelantikan saya di bawah Peraturan Mesyuarat 6, Dewan Rakyat dibacakan,” kata Azalina.

Justeru, menurut Azalina, beliau tidak melihat terdapat mana-mana pelanggaran Peraturan Mesyuarat atau Perlembagaan berlaku dalam pelantikan beliau di Dewan Rakyat.-SM

Selain Mahathir, turut menyertai permohonan tersebut ialah Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir; Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Datuk Dr. Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Kelima-lima plaintif memfailkan saman pemula di pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kira-kira pukul 2 petang empat hari lalu dan dilakukan melalui firma guaman Law Practice of Rafique.

Menurut laporan itu, Azhar Azizan yang diundi menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 13 Julai lalu menjadi defendan pertama, manakala Azalina sebagai defendan kedua.

Seorang lagi timbalan Azhar, Mohd Rashid Hasnon dan Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin masing-masing diletakkan sebagai defendan ketiga dan keempat.

Mereka memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa pelantikan Azhar dan Azalina sebagai tidak sahih, melanggar Perlembagaan Persekutuan atau Peraturan Tetap Dewan Rakyat.-SM

 

(Visited 200 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button