fbpx
Nasional

Perbicaraan Rosmah: Hakim minta Najib tinggalkan mahkamah

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini meminta bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meninggalkan mahkamah yang sedang mendengar perbicaraan berhubung kes rasuah melibatkan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib, 67, yang memakai kemeja merah berlengan pendek ketika itu sedang duduk di galeri awam di belakang Rosmah yang berada di tempat duduk tertuduh pada pukul 10.30 pagi semasa saksi pendakwaan memberikan keterangannya.

Kehadiran Najib disedari oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib yang kemudiannya memaklumkan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

“Semasa siasatan, MACC (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia-SPRM) telah merekodkan keterangan Datuk Seri Najib. Ada kemungkinan dia boleh menjadi saksi, dan saya rasa tidak sesuai baginya untuk berada di sini,” kata Ahmad Akram.

Peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh kemudiannya memberitahu Najib hadir di mahkamah bagi menyokong isterinya.


“Namanya tidak ada dalam senarai saksi yang akan dipanggil oleh pihak pendakwa,” katanya.

Hakim Mohamed Zaini kemudiannya memberitahu Najib yang dia perlu meninggalkan mahkamah, dan berkata: “Sebagai langkah berwaspada, boleh saya minta anda meninggalkan mahkamah?”

Najib dilihat menganggukkan kepala sebelum berjalan meninggalkan mahkamah.

Rosmah, 68, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, menerusi bekas pembantu Rosmah iaitu Datuk Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di tiga tempat berasingan iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 Sept, 2017.- BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button