Nasional

Restoran tersohor kaki ponteng puasa diserbu JAIM

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 8 April – Siapa sangka sebuah restoran mamak paling tersosor di Taman Peringgit Jaya dekat sini,
menyediakan dua pekerja bertugas sebagai ‘ulat’ untuk menghantar makanan dan air kepada pelanggan yang
tidak berpuasa.

Pelanggan hanya perlu membuat panggilan telefon untuk menempah makanan atau minuman lalu datang tidak jauh dari restoran tersebut sebelum ‘ulat’ datang  menghantarnya.

Bukan perkara baharu buat restoran yang menjual kari paling sedap dan ayam goreng itu menjual makanan
serta minuman kepada umat Islam yang tidak berpuasa yang sudah berlarutan sejak bertahun lamanya.

Siapa kaki ponteng puasa yang tidak kenal dengan restoran tersebut. Datanglah pada waktu pagi atau tengahari pastinya ia tidak menjadi halangan.

Bagaimanapun, hari ini nasib tidak baik buat restoran tersebut apabila anggota penguatkuasa Jabatan Agama
Islam Melaka (JAIM) menyerbu dan berjaya menahan tiga lelaki beragama Islam sewaktu membeli makanan di situ.

Kehadiran penguatkuasa turut dikongsi dalam beberapa kumpulan WhatSapp yang memberitahu, restoran
kegemaran ramai kawan-kawan telah diserbu JAIM.

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, serbuan itu dilakukan selepas risikan serta memantau kegiatan restoran itu sejak enam hari lalu.

Menurutnya, hasil risikan dan bukti yang diperolehi mendapati restoran tersebut menjual makanan dan
minuman secara bungkus kepada umat Islam yang ponteng berpuasa.

“Restoran ini yang cukup popular bagi penggemar masakan kari adalah antara 144 lokasi ‘panas’ serta menjadi ‘port’ paling digemari buat mereka yang ponteng berpuasa di bulan Ramadan.

“Sudah lama restoran ini menjalankan perniagaan di setiap kedatangan bulan Ramadan, rasanya lebih daripada
lima tahun dan mungkin lebih dari itu,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas Op Plastik Hitam Menggelegak
di sini hari ini.

Che Sukri berkata, pihaknya mengeluarkan tujuh notis kepada tujuh pekerja termasuk pemilik restoran
tersebut berusia antara 24 hingga 63 tahun di bawah Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka
1991 (Enakmen 6).

Mengikut Seksyen 49 Enakmen 6, mereka yang ditahan kerana menjual makanan di bulan Ramadan kepada umat
Islam yang berpuasa boleh didenda RM1,000 atau enam bulan penjara bagi kesalahan pertama, manakala denda
RM2,000 atau setahun penjara bagi kesalahan kedua atau kedua-duanya sekali.

Katanya, hasil serbuan tersebut seramai tujuh orang ditahan iaitu tiga daripada mereka beragama Islam manakala empat lagi bukan Islam.

Jelasnya, tujuh mereka adalah antara 15 orang yang telah dikeluaran notis untuk hadir ke pejabat JAIM untuk sesi kaunseling.

“Kita tidak ambil tindakan pendakwaan sebaliknya menggunakan kaedah pencegahan dan pendekatan secara
berhemah bagi mendidik mereka agar menghormati bulan puasa,” ujarnya.

(Visited 331 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button