Nasional

Penjana, PKPP : Tanda pemulihan ekonomi

Oleh Herniza Roxanne Marcus

BARU-BARU ini Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku pertama tahun ini ialah 0.7%. Ini bermaksud pendapatan negara dijangka berkurang berbanding 3.6% pada suku keempat 2019.

Umum tahu antara faktor penyumbang pengurangan ini kepada ekonomi adalah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 & 2 yang mewajibkan penutupan mandatori semua sektor ekonomi kecuali kategori penting (essential).

Hanya pada fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sebahagian sektor ekonomi yang ditutup ini telah dibuka. Namun, jika peratusan KDNK suku kedua (April – Jun 2020) nanti kekal menurun, maka Malaysia sah sedang mengalami kegawatan ekonomi.

Melihat kepada senario ini, pada 5 Jun 2020, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Ini adalah bertepatan pada masanya berikutan kes positif Covid-19 juga semakin berkurangan.

Namun, harus ditekankan bahawa tujuan utama PENJANA dan PKPP adalah untuk menjana semula ekonomi negara yang tertangguh dek PKP dan PKPB. Dan ini hanya akan berjaya apabila ia disokong oleh pematuhan SOP yang ketat oleh rakyat.

PENJANA (RM35 billion) ini adalah apa yang kita namakan sebagai Suntikan Fiskal (SF) iaitu Dana Tambahan kepada pelan rangsangan ekonomi sedia ada. Dalam teori ekonomi, SF ini adalah tambahan kepada G dalam formula Y= C+I+G+(X-M). G ialah Perbelanjaan Kerajaan.

Adalah diharapkan apabila G meningkat, C (Pembelian oleh isirumah), I (Pelaburan Swasta), X (Ekspot), M (Impot) juga akan meningkat dan akhirnya Y (Pendapatan Negara Keseluruhan) akan meningkat.

Di samping itu, SF juga adalah tambahan kepada Aliran Kitaran Pendapatan (Circular Flow of Income). Dalam erti kata lain, seperti yang penulis nyatakan dalam artikel berkaitan sebelum ini (Suara Merdeka, Simpanan panik boleh merencat pertumbuhan ekonomi, 8 April 2020), kita boleh melihatnya seperti sebiji belon yang berisi udara.

Semasa musim PKP, belon udara ini telah mengempis. Disini, SF akan mengisi semula udara ke dalam belon yang telah tipis tadi.

PENJANA merangkumi hampir semua keperluan rakyat dan ekonomi. Ia punya tiga teras utama iaitu: (i) Pemerkasaan Rakyat, (ii) Melonjak Perniagaan, dan (iii) Merangsang Ekonomi. Ini selaras dengan enam pendekatan Kerajaan (6R) untuk menangani kejatuhan ekonomi iaitu Resolve, Resilience, Restart, Recovery, Revitalise, Reform.

Setakat ini, PENJANA telah merangkumi fasa Pemulihan (Recovery). Fasa seterusnya akan diumum selaras Bajet 2021 dan Rancangan Malaysia ke-12 pada bulan Oktober 2020 nanti.

Dalam pada itu, PKPP pula adalah pemangkin PENJANA. Oleh kerana negara belum boleh membuka sempadan antarabangsa, kita wajib maksimakan kuasa ekonomi tempatan.

Berikutan itu, pengecualian cukai pelancongan, cukai jualan kenderaan dan duti setem, antara lain, boleh membantu memacu pemulihan pantas sektor pelancongan domestik, automotif dan hartanah negara melalui peningkatan kadar kemampuan di kalangan rakyat untuk berbelanja.

Tahap pengangguran semasa negara sememangnya agak membimbangkan. Namun, insentif untuk mereka yang terkesan ini juga ada disediakan dalam PENJANA. Kerajaan menyediakan bantuan RM800 bagi mereka yang kehilangan pekerjaan (bawah 40 tahun) dan RM1,000 (atas 40 tahun). Insentif ini lebih kurang sama dengan Faedah Pengangguran (Unemployment Benefits) di Amerika Syarikat.

Sebenarnya, pengangguran ada beberapa kategori. Beberapa pakar ekonomi melihat pengangguran yang berlaku ketika ini jatuh dalam kategori kitaran pengangguran berulang (cyclical unemployment). Sesetengah yang lain percaya apa yang berlaku ialah pengangguran bermusim (seasonal unemployment).

Apapun, ringkasnya, pengangguran yang berlaku sekarang dilihat sebagai fenomena biasa dalam ekonomi, dan mengikut tahap tertentu, adalah bersifat sementara.

PENJANA memerlukan komitmen semua pihak untuk berjaya. Selain disiplin rakyat mematuhi SOP Covid-19, ia juga bergantung kepada kestabilan politik negara. Justeru, pada saat yang genting ini, semua pihak, baik pengundi, baik pemimpin politik, kita mesti rasional dan mendahulukan kemaslahatan masyarakat, survival rakyat dan ekonomi negara terlebih dahulu berbanding kepentingan kendiri.

Hanya dengan iltizam dan semangat jitu, dan penyatuan rakyat, barulah ekonomi kita akan cepat pulih dan memasuki fasa pemerkasaan dengan segera.

Penulis adalah Pensyarah, Fakulti Pengurusan Perniagaan (Ekonomi) UiTM Sabah

(Visited 197 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button