fbpx
Bola SepakSukan

Neitzel gembira semangat tinggi dipamerkan pemain Selangor

SKUAD Selangor FC kembali menjalani latihan pusat selepas mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP) sejak Januari lalu sebagai persiapan menjelang Liga Malaysia 2021 yang dijangka membuka tirai pertandingan pada Mac.

Ketua jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel adalah individu paling gembira apabila menyaksikan semangat tinggi yang ditunjukkan para pemain semasa sesi latihan selain merancang beberapa perlawanan persahabatan menentang pasukan dalam Lembah Klang.

Neitzel dalam kenyataannya kepada laman web rasmi Selangor FC berkata, dia dapat melihat pemain gembira kembali berlatih dan mereka juga menunjukkan sikap yang baik di atas padang.

“Kesemua barisan kejurulatian mahu mengekalkan semangat ini sehingga habis musim ini.

“Kebiasaannya, terdapat banyak sesi latihan sepanjang tempoh pra musim, tetapi kali ini pemain Selangor tidak akan melakukan latihan dua kali sehari seperti kebiasaannya.


“Sebaliknya, mereka tidak akan bercuti sepanjang 14 hari yang akan datang. Ini untuk membantu mereka mencapai kecergasan perlawanan (match fitness) yang baik dan bersedia untuk pertandingan pada bulan depan,” katanya.

Sesi latihan kali ini juga disertai oleh pemain import terbaharu Selangor FC, Oliver ‘Oli’ Buff yang sebelum ini tidak sempat berlatih bersama rakan sepasukannya ekoran perlaksanaan PKP 2.0 yang berkuatkuasa sehari selepas dia diumumkan sebagai pemain Red Giants.

Walaupun baru kali pertama menyertai latihan bersama rakan sepasukan, pemain berasal dari Switzerland itu memberitahu, dia tidak berasa bersendirian dan mudah untuk menyesuaikan diri dalam skuad Selangor.

“Saya sangat gembira kerana dapat berlatih bersama pasukan baharu setelah beberapa bulan saya berlatih secara bersendirian.

“Mereka juga menyambut dan menerima kehadiran saya dengan baik sepanjang sesi latihan,” ujar Oliver sewaktu berkongsi perasaannya selepas hari pertama berlatih bersama rakan sepasukan.

Jelasnya, perkara paling penting untuknya adalah membiasakan diri dengan cuaca terlebih dahulu kerana ia berbeza daripada di Switzerland, selain melakukan semampu yang boleh untuk menyesuaikan diri dengan taktikal baharu sebelum Liga Super bermula. – SM

(Visited 32 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button