NegeriRencah Hidup

Musim harumanis dijangka lebih panjang tahun ini hingga Julai

PEMINAT harumanis di seluruh negara tidak perlu bimbang kerana musim buah ikon Perlis ini dijangka akan lebih panjang pada tahun ini.

Kalau tahun lalu musim harumanis bermula April hingga Mei tetapi tahun ini dijangka akan berganjak sehingga ke Julai iaitu pertengahan tahun.

Perkara ini dikongsi oleh Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Mohd Shahrizan Mansor berikutan faktor cuaca tidak menentu sebelum ini membawa kepada musim harumanis lebih panjang.

“Memang tahun ini harumanis berbunga lebat luar biasa tetapi apabila berlaku hujan di luar jangkaan maka tidak sempat berputik,” katanya kepada media di pejabat FAMA Perlis di Jalan Behor Temak di Kangar.


Bagaimanapun katanya, harumanis ini sebenarnya berbunga lebih dari sekali.

“Sekaligus pokok harumanis ini kembali berbunga dan sempat berputik dengan bantuan cuaca yang kembali panas,” katanya.

Katanya, sekalipun musim harumanis lebih panjang pada kali ini tetapi hasilnya dijangka lebih menguncup berbanding tahun lepas.

Mohd Shahrizan berkata, pihaknya juga akan memastikan harga harumanis pada tahun ini juga kekal seperti tahun lepas.

“Sebolehnya FAMA akan mempertahankan kekalkan harga apabila bertemu dengan peladang dan jabatan pertanian untuk perbincangan nanti,” katanya.

Katanya, pihaknya faham kos mengusahakan tanaman harumanis meningkat tetapi dalam masa yang sama biarlah ia boleh dinikmati oleh semua golongan. – SM

(Visited 566 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button