Mahkamah

Permohonan Najib, anak isu keperlembagaan kes tunggakan cukai ditolak

Mahkamah Rayuan menetapkan 9 September ini untuk mendengar rayuan bekas perdana menteri Najib Razak dan anaknya, Mohd Nazifuddin berhubung kes percukaian.

Ia selepas panel tiga hakim hari ini menolak permohonan peguam kedua-duanya, Muhammad Shafee Abdullah untuk merujuk isu keperlembagaan yang dibangkitkan mereka ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

Hari ini, Mahkamah Rayuan pada mulanya dijadualkan untuk mendengar rayuan Najib dan Nazifuddin untuk mengetepikan keputusan mahkamah untuk membenarkan penghakiman ringkas dalam saman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menerusi LHDN, kerajaan menuntut cukai didakwa tidak dibayar serta penalti, masing-masing berjumlah RM1.69 bilion terhadap Najib dan RM37.6 juta terhadap Nazifuddin.

Berdasarkan undang-undang sivil, mahkamah boleh menetapkan penghakiman ringkas untuk memutuskan isu perundangan tanpa perbicaraan penuh.

Ketika prosiding hari ini, Shafee berkata perkara itu perlu dirujuk ke Mahkamah Persekutuan untuk memuktamadkan isu keperlembagaan dalam rayuan kes tersebut.

Isu keperlembagaan yang dibangkitkan adalah sama ada Seksyen 106(3) Akta Cukai Pendapatan 1967 bertentangan dengan Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan atau tidak.

Seksyen 106(3) menyatakan dalam sebarang tindakan sivil kerajaan untuk menuntut cukai, mahkamah tidak perlu melayan rayuan yang menyatakan jumlah cukai yang dituntut sebagai berlebihan, ditaksir secara tidak tepat, di bawah proses rayuan dan dinaikkan secara tidak tepat.

Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan berkenaan kuasa kehakiman dalam persekutuan Malaysia.

Ketika di akhir perbicaraan dalam talian hari ini, pengerusi panel hakim Mahkamah Rayuan Karim Abdul Jalil berkata mahkamah tidak boleh bersetuju dengan penghujahan Shafee.

“Kami memutuskan untuk meneruskan proses rayuan, yang akan meliputi isu ini (kesahan Seksyen 106) dan juga isu lain (berkaitan rayuan),” katanya dalam keputusan sebulat suara.

(Visited 163 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button