fbpx
Politik

Mengintai bahtera Bersatu melalui retakan kepimpinan

Oleh Cikgu Kamarulazman Habibur Rahman

1. Ramai dalam kalangan kita tidak menyedari betapa pentingnya sesuatu keputusan yang hendak diambil sehinggalah kita membuat keputusan salah yang begitu merosaķkan.

2. Bermula dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad tersilap langkah untuk melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi PPBM sehinggalah Datuk Shaharudin Salleh meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya dan berpaling arah untuk kembali ke pangkuan Tun dan PH, PPBM yang dikenali sebagai Bersatu kini diambang keruntuhan.

3. Tun menggunakan strategi yang sama ketika mengumumkan perletakan jawatan daripada jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO dalam tahun 2002 di Perhimpunan Agung UMNO. Mungkin Tun mengharapkan reaksi yang sama dimana beliau menjangkakan akan dipujuk untuk menarik balik perletakan jawatannya kali ini. Tujuannya tidak lain tidak bukan untuk mendapatkan mandat supaya beliau mempunyai alasan kukuh untuk tidak menepati janji bagi menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kedua, untuk menentukan bahawa beliau berkuasa penuh dalam PPBM bagi mempercepatkan peralihan kuasa jawatan presiden sebelum beliau berundur buat selamanya. Namun kali ini apa yang diharapkan tidak kunjung tiba. Di satu pihak, Tun dianggap sebagai seorang negarawan yang perlu berehat dan di pihak lain Tun dianggap sebagai poltikus usang yang begitu merosakkan. Tun perlu bijak membuat keputusan.

4. Kini apabila keahlian beliau dalam PPBM terbatal, Tun memainkan lagu yang sama untuk meraih sokongan dan buat pertama kali, ia amat sukar diperolehi. Rata-rata rakyat sudah bosan dengan irama yang sama dimainkan oleh politikus usang ini.


5. Tun masih menabur racun terhadap Datuk Seri Najib dan kerajaan yang dilabelkan sebagai ‘kleptokrasi’. Malangnya setiap perkataan yang keluar dari mulutnya disambut dengan kritikan dan kata-kata nista yang amat pedih dan tidak sepatutnya digunakan terhadap seorang mantan Perdana Menteri. Anehnya inilah kata kata nista yang digunakan oleh ramai terhadap Datuk Seri Najib satu masa dahulu. Jika Tun menepati janjinya untuk tidak campurtangan dalam urusan pentadbiran dan politik negara ketika beliau mula mula melepaskan jawatan dahulu, pasti beliau tidak akan diheret ke lembah penghinaan seperti ini.

6. Tun menuduh bahawa kerajaan Muhyiddin menggunakan beberapa institusi kerajaan untuk menakutkan musuhnya, contohnya SPRM. Tuduhan ini langsung tidak masuk akal kerana rakyat Malaysia masih lagi tidak boleh lupa tentang apa yang Tun lakukan terhadap Datuk Seri Najib dan keluarga di bulan Ramadhan 2018. Ramai pemimpin UMNO diperlakukan dengan begitu teruk sekali dengan pendakwaan terpilih dalam usaha melahirkan kebencian terhadap UMNO, lalu memindahkan sokongan kepada PPBM.

7. Mahathir dalam nada meyakinkan membuat tuduhan kononnya kakitangan awam ditakut-takutkan untuk menyokong kerajaan. Walhal Tun lah satu satunya pemimpin yang menggunakan taktik ini dalam usaha menghancurkan tentangan terhadapnya. Tun juga mengugut akan mendedahkan ‘kepincangan’ dan ‘salahguna kuasa’ kerajaan Malaysia kepada negara luar melalui media asing. Ini jelas satu ugutan seorang yang terdesak, yang tidak punya kecintaan terhadap negaranya sendiri. Sebagai seorang yang selalu mengajak rakyat meletakkan kecintaan terhadap negara di tempat paling tinggi ketika beliau menjadi Perdana Menteri, Tun tidak sepatutnya melakukan perkara yang sekeji ini.

8. Hakikatnya rakyat sudah bosan diajak berbalah sesama sendiri untuk memenuhi cita-cita segelintir pemimpin yang hanya mampu memfitnah dan merosakkan. Dalam keadaan dunia memerangi wabak Covid-19 ini Tun sepatutnya berada di sebelah Muhyiddin dalam setiap perutusan PM ke 8 itu. Bukankah Muhyiddin sentiasa memberi ruang dan sokongan kepada Tun sebelum ini?

9. Shaharudin pula akan menghitung untung nasibnya dengan keputusan yang dibuatnya. Ketika Muhyiddin berada di puncak keyakinan rakyat, Shaharudin melakukan sesuatu yang tidak dijangka dengan meninggalkan bahtera orang yang pernah melakukan segalanya untuknya. Sikap Shaharudin menimbulkan banyak tanda tanya. Benarlah nasihat pepatah bahawa ‘janganlah kita salahkan seseorang kerana mengecewakan kita. Sebaliknya salahkanlah diri kita sendiri kerana meletakkan keyakinan yang terlalu besar terhadap mereka. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button