Politik

Hanifah ganti Peja ketua Bersatu, PN Negeri Sembilan

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker dilantik sebagai ketua Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan menggantikan Ahmad Faizal Azumu yang memegang jawatan itu sejak Jun tahun lalu.

Pelantikan itu disahkan Faizal atau lebih dikenali Peja yang memaklumkan keputusan dibuat ketika mesyuarat pimpinan tertinggi Bersatu semalam.

“Saya percaya seluruh bahagian Bersatu di Negeri Sembilan akan memberikan kerjasama baik, dengan kerjasama yang baik, tentunya, banyak perkara boleh dilakukan serta beroleh kejayaan.

“Apa yang penting, Bersatu dan PN mesti memainkan peranan sebagai pembangkang berwibawa, sentiasa membangkitkan isu rakyat sambil berusaha memperbaiki kehidupan rakyat,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Sementara itu, Hanifah berkata watikah pelantikannya sebagai ketua Bersatu Negeri Sembilan disampaikan Presiden Muhyiddin Yassin kepadanya, semalam.

Katanya, pelantikan untuk menerajui PN negeri turut dimaklumkan semalam namun watikah belum diterimanya.

“Terima kasih kepada Muhyiddin kerana beri peluang dan yakin kepada saya untuk mengetuai Bersatu Negeri Sembilan, saya akui ia bukan tugas mudah namun yakin akan menerima sokongan dan bantuan daripada semua ahli Bersatu di negeri ini.

“Dalam masa terdekat saya akan bertemu kepemimpinan Bersatu negeri dan ahli-ahli bagi mengukuhkan kembali Bersatu di negeri ini,” katanya.

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Rafiei Mustapha menuntut Peja segera meletak jawatan sebagai ketua PN negeri kerana didakwa “tidak lagi berminat” menerajuinya.

Beliau yang juga timbalan ketua PN Negeri Sembilan berkata, Peja tidak memainkan peranan sebaik mungkin selepas PRN berakhir Ogos lalu.

PN hanya menang lima daripada 36 kerusi ditandingi iaitu di Paroi, Bagan Pinang, Serting, Gemas dan Labu pada pilihan raya itu. – SM

BACA Tuntutan akhir Bersatu Hulu Selangor kepada pemimpin PN

(Visited 43 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button