Politik

Gunakan tempoh sebulan untuk stabilkan negara

TEMPOH sebulan sebelum Parlimen bersidang harus digunakan sebaik mungkin untuk bermuafakat dan meletakkan negara dalam keadaan yang lebih stabil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin semalam untuk mengadakan undi percaya di Parlimen pada September telah mententeramkan keadaan.

“Pengumuman tersebut diterima baik oleh sebahagian besar rakyat. Kekuatan utama Malaysia sejak merdeka ialah kestabilan politik yang telah membolehkan negara ini mencapai kejayaan yang membanggakan dalam pelbagai bidang.

“Untuk memastikan Malaysia terus mencatatkan kejayaan, kita memerlukan keamanan dan kestabilan politik,” kata Ahli Parlimen Jeli itu.

Tambah beliau, Malaysia mempunyai potensi yang sangat besar untuk menjadi sebuah negara maju. Malaysia mempunyai pelbagai sumber dan modal insan yang berkualiti.


Namun untuk mencapai matlamat sebuah negara maju berpendapatan tinggi Malaysia perlu mengembleng seluruh tenaga dan buah fikiran yang mewakili pelbagai sektor bagi menangani krisis kesihatan dan krisis ekonomi yang tidak pernah kita alami.

“Salah satu prasyarat untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi ialah pelaburan dalam dan luar negeri.

“Pelaburan adalah di antara pemangkin kepada pemulihan ekonomi yang dapat menyediakan peluang pekerjaan, menjana pendapatan dan meningkatkan eksport.

“Iklim pelaburan yang kukuh serta kestabilan politik akan memastikan Malaysia dapat terus menarik pelaburan dari dalam dan luar negara,” katanya.

Justeru katanya, seluruh rakyat khususnya pemimpin-pemimpin politik perlu mencari titik pertemuan dan kebersamaan di bawah kepemimipinan Muhyiddin.

Semua pihak harus bekerja sebagai satu pasukan demi menjamin masa depan yang lebih baik untuk rakyat dan negara.-SM

 

(Visited 69 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button