fbpx
Politik

Perhimpunan Agung UMNO kembali jadi medan jatuhkan presiden

PERHIMPUNAN Agung UMNO yang paling tenang, adalah yang diadakan selepas parti itu kalah pada pilihan raya umum.

Ketika itu tiada ucapan berapi-api perwakilan, tiada surat layang, tiada mesej beracun, tiada jual beli sokongan, tiada liputan besar-besaran media dan paling penting UMNO tiada duit, sebab akaun parti dibekukan.

Perhimpunan itu berlangsung setelah ada individu dalam UMNO yang menyumbang sejumlah wang untuk membolehkan acara itu berlangsung. Bangunan PWTC yang gah menjadi tempat letak ibu pejabat UMNO juga agak lengang kerana kebanyakan petugasnya telah meninggalkan pejabat dan bekerja di tempat lain kerana ketidakmampuan parti membayar gaji untuk tempoh yang lama.

Tiada makanan sajian hotel lima bintang untuk petugas media, yang disediakan hanya makanan ringkas yang boleh ditukar dengan kupon khas. Bagaimanapun kebanyakan petugas media membeli nasi bungkus dan membawa bekal untuk berkongsi semasa sendiri.

Wartawan yang dihantar juga terdiri daripada bertaraf junior sahaja bagi membuat liputan dan tiada liputan langsung oleh stesen televisyen utama.


Tiada blogger dan tentera siber bersidai di setiap penjuru.

Bagaimanapun selepas 22 bulan kehilangan kuasa, dengan ketentuan Ilahi UMNO kembali ke puncak perdana di Putrajaya bersama dua sekutu iaitu PAS dan Bersatu.

PAS yang buat pertama kali berada dikemuncak kepimpinan negara tidak menimbulkan banyak masalah, tetapi UMNO yang masih lagi hubungan dengan Bersatu masam-masam manis, menjadi cukup bermasalah.

Mudah difahami Bersatu adalah serpihan parti UMNO yang ditubuhkan pada asalnya bagi menggantikan UMNO yang dikatakan dipenuhi dengan pemimpin korup.

Terbentuknya kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah dalam keterpaksaan para pemimpin UMNO yang tidak biasa kehilangan kuasa dan mereka khuatir akan lenyap terus dari muka bumi Malaysia.

Lantas sekumpulan pemimpin UMNO telah dilantik sebagai menteri kabinet dan kini menyebabkan berlakunya pertembungan kumpulan menteri kabinet yang digelar sebagai kluster menteri dengan kluster presiden iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada 27 dan 28 Mac ini sebagaimana diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi dijangka dijadikan medan untuk menyerang presiden.

Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah melaluinya ketika beliau diserang oleh Timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menuduh beliau mengamalkan dasar kronisme.

Pada ketika itu Ahmad Zahid digunakan oleh Anwar untuk mendedahkan senarai kroni Dr. Mahathir. Bagaimanapun Dr. Mahathir bukan calang anak, apabila menghidu gerakan itu, telah menyenaraikan kroni Anwar terlebih dahulu.

Kali kedua Dr. Mahathir diserang, beliau telah menggunakan kuasa air mata dengan sebak dan menangis mahu meletakkan jawatan. Menyebabkan ramai yang luluh hati dengan insiden itu.

Kini gerakan hampir sama telah dikesan dan kali ini bagi mendesak Ahmad Zahid supaya meletakkan jawatan, kerana beliau dikatakan menjadi ‘Duri dalam daging’ kepada keharmonian hubungan para pemimpin di dalam PN.

Beliau dikatakan lebih mementingkan diri sendiri daripada kepentingan parti. Sedangkan keputusan menolak kerjasama dengan Bersatu dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi mendapati majoriti bahagian yang bermesyuarat memutuskan sedemikian.

Kemuncak kepada hubungan tidak baik Ahmad Zahid dengan pemimpin Bersatu dan kluster menteri, apabila berjaya menggerakan supaya ahli parlimen UMNO menarik balik sokongan kepada kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun Muhyiddin berjaya menyelamatkan kerajaan PN daripada runtuh apabila berjaya menyakinkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat bagi memberi tumpuan kepada usaha membendung pandemik Covid-19.

Oleh itu perhimpunan agung yang sepatutnya memutuskan untuk keluar dari PN akan menjadi lebih kepada persiapan menghadapi pilihan raya yang dijangka diadakan selepas tamat darurat pada Ogos depan.

Namun disebaliknya digunakan oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan presiden.

Dengan kekangan kewangan kerana akaun parti masih dibekukan begitu juga pemimpin utama parti yang turut terkait dengan pelbagai tuduhan di mahkamah yang sekali gus menyebabkan akaun mereka turut dibekukan, menyebabkan UMNO sukar bergerak.

Dengar ura-ura Tengku Razaleigh Hamzah yang bakal menjadi insan penyelamat situasi itu dengan mendanai perbelanjaan UMNO untuk pilihan raya akan datang. Sejauh mana kebenarannya tidak dapat dipastikan. Bagaimanapun begitulah maklumat dalaman yang diperolehi.

Naratif menjadi bertambah menarik apabila Dr. Mahathir menyatakan beliau sanggup kembali ke dalam UMNO tetapi meletakkan syarat para pemimpin yang mempunyai kes mahkamah supaya meletakkan jawatan.

Dr. Mahathir yang gagal mendaftarkan parti baharunya iaitu Pejuang, merupakan rakan akrab Tengku Razaleigh atau Ku Li di dalam politik walaupun mereka pernah berseteru sehingga menyebabkan UMNO diharamkan dan Semangat 46 ditubuhkan.

Akhirnya Semangat 46 dibubarkan dan semua pemimpin berkenaan kembali ke dalam UMNO. Jadi apakah senario yang sama berlaku apabila Bersatu dibubarkan dan semua kembali ke dalam UMNO, termasuk para pemimpin Pejuang. Cakap-cakap ke arah itu memang sedang berlaku, tetapi ia tidak mustahil.

UMNO akan berusia genap 75 tahun pada 11 Mei depan, bakal berdepan politik tidak menentu. Bagaimanapun ahli di peringkat akar umbi tetap dengan pendirian tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu dan sanggup kalah pada pilihan raya kelak, daripada terus bertemankan sekutu yang diibaratkan ‘Gunting dalam lipatan’.

Namun, apakah para elit UMNO bersedia mengambil risiko dan sekali lagi kehilangan kuasa bila kalah pada pilihan raya kelak, Tepuk dada, tanya selera.

(Visited 247 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button