fbpx
Politik

Pas tiada masalah bilangan wakil dalam Kabinet kecil

Oleh BERNAMA

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pihaknya tidak mempunyai masalah dengan bilangan wakil parti itu dalam Kabinet yang lebih kecil berbanding parti lain.

Tuan Ibrahim, yang juga menteri alam sekitar berkata, lebih penting ialah kerjasama dengan parti lain bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional yang diharapkan rakyat Malaysia.

“Yang penting kita akan buktikan kemampuan kita,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet pertamanya di sini semalam.

Selain Tuan Ibrahim, wakil PAS yang menyertai Kabinet ialah setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan yang dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) dan ahli Jawatankuasa PAS Pusat Khairuddin Aman Razali sebagai menteri perusahaan perladangan dan komoditi.


Lima wakil PAS yang dilantik sebagai timbalan menteri ialah ahli Parlimen Pendang Awang Hashim (Kementerian Sumber Manusia), ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff (Kementerian Wanita dan Keluarga); ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary (Jabatan Perdana Menteri), ahli Parlimen Tumpat Che Abdullah Mat Nawi (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) dan ahli Parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad Hashim (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi).

Ketika diitanya mengenai kenyataan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang mahu semua anggota Kabinet mengisytiharkan harta mereka, Tuan Ibrahim memberi jaminan bahawa kesemua 18 ahli Parlimen PAS akan berbuat demikian.

Muhyiddin, selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertamanya semalam dilaporkan berkata, semua anggota Kabinet dikehendaki mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mereka diberi tempoh sebulan untuk melakukannya.-BERNAMA

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button