Politik

Elaun nelayan: PM tidak harus salahkan PH, Warisan

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin tidak harus menyalahkan Pakatan Harapan dan Warisan berhubung penurunan Elaun Sara Hidup nelayan.

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, Muhyiddin merupakan sebahagian daripada anggota Kabinet PH ketika Elaun Sara Hidup nelayan diturunkan selepas PH mengambil alih pentabiran negara daripada Barisan Nasional.

“Sudahkah Tan Sri Muhyiddin lupa bahawa beliau merupakan sebahagian daripada Pakatan Harapan dahulu?

“Beliau merupakan anggota jemaah menteri dan seingat kami beliau tidak pernah membantah pemotongan Elaun Sara Hidup Nelayan yang dilakukan ketika itu.

“Barangkali Tan Sri Muhyiddin juga lupa bahawa Pakatan Harapan telah berjanji untuk meningkatkan Elaun Sara Hidup Nelayan sekiranya situasi ekonomi mengizinkan,” kata Salahuddin.

Katanya, walaupun wadah politik sudah berbeza namun Muhyiddin tidak seharusnya menyalahkan Pakatan Harapan dan Parti Warisan Sabah tanpa mengingati bahawa beliau merupakan sebahagian daripada Pakatan Harapan sebelum ini.

Semalam Muhyiddin mengumumkan  kenaikan Elaun Sara Hidup Nelayan dari RM250 kepada RM300 padda Majlis Bersama Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah serta Pelancaran Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit/Huma di Beaufort, Sabah.

Kenaikan elaun itu bagi mengurangkan beban golongan nelayan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Semasa Pakatan Harapan mentadbir negara, Parti Warisan Sabah sebahagian daripada PH dan Elaun Sara Hidup nelayan sebanyak RM300 dipotong menjadi RM250.

“Hari ini, saya umumkan, kita kembalikan semula bayaran tunai RM300 setiap bulan, supaya dapat meringankan beban yang ditanggung sektor perikanan,” katanya.
Elaun Sara Hidup Nelayan menjadi polimik selepas Pakatan Harapan menang pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Perdana Menteri ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, bantuan itu akan dibatalkan atas faktor kekangan ekonomi tetapi Salahuddin dalam satu sidang akhbar berkata ia akan dikekalkan.
Elaun Sara Hidup Nelayan yang diperkenalkan Barisan Nasional iaitu RM300 kemudiannya dikurangkan kepada RM200 atas alasan ekonomi tidak mengizinkan.
Bagaimanapun menerusi Belanjawan 2020 elaun tersebut dinaikkan kepada RM250.-SM
(Visited 194 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button