Nasional

RM37 juta kos pembaikan kerosakan jalan perhubungan desa akibat bencana banjir

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar , KPLB, menerima laporan kerosakan Jalan Perhubungan Desa (JPD) dengan kos pembaikan lebih RM37 juta akibat bencana banjir bulan lalu.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, KPLB juga menerima laporan kerosakan Ameniti Sosial bernilai RM35 juta untuk kerja-kerja pembaikan.

“Setakat 9 Januari lepas, sebanyak 356 permohonan JPD diterima bagi kerja bina baharu, naik taraf serta membaik pulih kemudahan dan infrastruktur.

Manakala 394 permohonan Program Ameniti Sosial (PAMS) iaitu termasuk di kawasan perkampungan orang asli yang dilanda banjir baru-baru ini.”

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Bantuan Pembelian Barangan Keperluan Asas (BPBKA) kepada mangsa banjir Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, Parlimen Port Dickson di Dewan Majestic, Port Dickson hari ini.


Menurut Mahdzir, jumlah kerosakan dan kos pembaikan tersebut dinilai setakat 9 Januari lalu dan dijangka meningkat sebaik penilaian menyeluruh siap dilaksanakan di seluruh negeri yang terkesan dengan bencana banjir bulan lalu itu. Kerja-kerja baik pulih katanya, akan  dilaksanakan dan dijangka siap dalam tempoh empat hingga enam bulan.

KPLB sebelum ini menyediakan peruntukan khas berjumlah RM150 juta bagi pembaikan dan pemulihan pasca bencana banjir. Ia membabitkan RM50 juta bagi membaik pulih dan bina baharu rumah di bawah Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia. Manakala bagi pembaikan JPD dan PAMS masing-masing diperuntukan sebanyak RM50 juta.

Terdahulu Mahdzir menyampaikan bantuan tunai RM2,500 kepada 300 mangsa banjir di kawasan tersebut menerusi bantuan BPBKA dibawah kendalian Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

Katanya secara keseluruhan kerajaan Persekutuan menerusi BPBKA memperuntukkan RM15.1 juta manakala RM4.63 juta melalui Bantuan Wang Ihsan berjumlah RM1,000 untuk mangsa banjir di negeri ini. – SM

(Visited 35 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button