Politik

Maszlee ketuai Jawatankuasa Pendidikan PH gesa menteri letak jawatan

JAWATANKUASA Pendidikan Pakatan Harapan menggesa Menteri Pendidikan Dr. Mohd Radzi Md Jidin dan dua timbalannya supaya meletakkan jawatan.

Jawatankuasa yang diketuai oleh Ahli Perlimen Simpang Renggam Dr. Maszlee Malik itu membuat desakan tersebut kerana mendakwa keadaan pengurusan sekolah semakin caca-marba dalam mendepani jangkitan Covid-19.

Menurut jawatankuasa yang terdiri daripada lapan ahli Parlimen Pakatan Harapan itu, usaha pembukaan sekolah secara berperingkat pada tahun ini dilakukan tergesa-gesa tidak lama selepas pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR) dilaksanakan.

Katanya, pembukaan sekolah tersebut juga tidak disertai penerangan yang jelas kepada masyarakat berikatan pelan dan mekanisme pembelajaran dalam norma baharu jika terdapat kes-kes Covid-19 di sekolah apabila dibuka.

“Apa yang berlaku kini, pihak pengurusan sekolah ramai yang hilang arah dan punca apabila peningkatan kes di sekolah tetapi mereka tidak dipersiap untuk PDPR di kala sekolah ditutup. Malah pemberian 150,000 komputer riba yang dijanjikan kerajaan masih tidak kelihatan.

“Rakyat umumnya kabur tentang hala tuju dan pelan tindakan terancang pihak kementerian berkaitan pendidikan di kala pandemik kerana tidak wujud ketelusan maklumat dari KPM kepada rakyat,” katanya.

Jawatankuasa itu mendakwa, kemarahan rakyat terutamanya para guru, pentadbir sekolah dan ibubapa terhadap kerajaan dan KPM adalah berhubung kelemahan dalam pengendalian terhadap situasi terkini yang boleh dilihat di peringkat bawahan dan di -media sosial.

“Atas kesedaran ini, kami mewakili semua Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan parti-parti pembangkang yang lain mendesak agar Menteri Pendidikan beserta kedua-kedua timbalannya yang dilihat gagal dalam melaksanakan tugas mereka seperti yang diharapkan rakyat supaya segera berundur demi masa depan rakyat dan negara tercinta,” katanya.-SM

(Visited 800 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button