Sukan

Hati mulia Marcus Rashford

BINTANG Manchester United, Marcus Rashford telah memakai but berwarna hitam dengan dihiasi 40 mesej daripada kanak-kanak sekolah pada perlawanan Piala Negara-Negara Eropah antara England menentang Belgium, semalam.

Pertemuan itu berkesudahan England menundukkan pasukan yang menghuni ranking No. 1 dunia, Belgium 2-1 dengan Rashford muncul penjaring gol buat Three Lions hasil sepakan penalti pada minit ke-39.
Pemain berusia 22 tahun itu, yang menerima anugerah MBE kerana usaha kerasnya menjayakan kempen bagi menyediakan makanan percuma buat kanak-kanak miskin sewaktu cuti persekolahan, telah melancarkan ‘Projek But Marcus Rashford’ sebagai menghormati Black History Month.
Sebagai sebahagian daripada usaha menggunakan platformnya sendiri untuk membela nasib kanak-kanak miskin tersebut, bintang Three Lions itu telah bertindak memakai sepasang but edisi khas Nike Mercurial yang turut dihiasi mesej menerusi tulisan tangan.
Kata-kata menerusi mesej tersebut adalah hasil maklum balas kanak-kanak sekolah yang dibantu Rashford dan bintang muda United itu kelihatan memakai but berkenaan dalam saingan yang berlangsung di Wembley.
Seramai 40 kanak-kanak telah dipilih dari tiga buah sekolah yang sebahagian besar daripada murid-muridnya menerima bantuan makanan percuma, termasuk Sekolah Button Lane di Wythenshawe, yang merupakan sekolah rendah Rashford.
Hero kelahiran Manchester itu turut mempamerkan tulisan mesej daripada kanak-kanak dari Akademi Passmores di Harlow dan Sekolah Rendah Komuniti Brunswick di Sheffield.
Rashford juga akan terus memakai but tersebut sepanjang Oktober, sebelum kasut itu didermakan kepada badan amal yang bersesuaian dengan perjuangannya bagi melawan kemiskinan dalam kalangan kanak-kanak, termasuk FareShare dan Trussell Trust.
Penyerang yang menjadikan Muhammad Ali sebagai idolanya sewaktu remaja, turut menyertakan petikan kata-kata inspirasi daripada legenda tinju tersebut yang boleh dilihat daripada sisi but yang dipakai Rashford.
Petikan itu dibaca: “Mengenal pasti bagaimana setiap detik perjalanan kita adalah bahagian penting dalam pertumbuhan jiwa kita.”
Pemilihan warna but yang dipakai Rashford adalah lambang kepada perjalanan karier pemain itu sepanjang dia berada di Akademi United, di mana pemain muda itu telah dilarang daripada memakai but berwarna lain, melainkan hitam.
Bagaimanapun, but yang dibuat khas itu bukan untuk dijual.
“Projek ini merupakan satu peluang kepada saya untuk membantu jutaan kanak-kanak di United Kingdom sebagai platform untuk mereka berkongsi suara dan inspirasi kepada generasi akan datang.
“Jika saya tidak memiliki pengalaman ini sewaktu saya masih kanak-kanak, saya tidak berhak untuk berdiri di sini, hari ini, sebagai suara kepada perubahan. Mesej yang saya sampaikan ini tidaklah mempunyai pengaruh yang kuat.
“Saya mahu membawa suara mereka bersama saya, berdiri di Stadium Wembley dengan but saya dipenuhi mesej yang ditulis kanak-kanak ini. Saya mahu memberikan detik kepada mereka untuk bersinar.
“Kanak-kanak perlu percaya mereka boleh menjadi apa sahaja yang mereka mahukan, tanpa perlu menempuhi kegagalan sistem dan ketidakadilan.
“Kita perlu membenar dan menggalakkan anak-anak kita menyimpan impian kerana kadang kala hanya impian yang mereka ada,” kata Rashford.
Selepas menerima berita dia akan dianugerahkan MBE, Rashford mendedahkan dia akan membawa ibunya bertemu Ratu.
Usaha Rashford itu mendapat pujian daripada rakan sepasukannya dalam skuad Three Lions, Eric Dier yang melabel pemain tersebut ‘bukan sahaja sebagai model peranan untuk kanak-kanak, tetapi juga kepada para pemain’. – The Sun UK – SM

(Visited 51 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button