Agama

Raja Muda Perlis ingatkan masjid-masjid amalkan syura dalam membuat keputusan

Masjid-masjid di negeri Perlis hendaklah sentiasa memastikan prinsip syura dan perbincangan sentiasa dikekalkan. Elakkanlah daripada membuat sesuatu itu tanpa punca kuasa dan mandat serta berusahalah mengelakkan sebarang perpecahan, iri hati dan perasaan dendam sesama sendiri. Mudah-mudahan peranan dan fungsi masjid sebagai pusat penyatuan umat akan terus dapat direalisasikan.

Semoga kita semua akan terus ke hadapan, lebih bersemangat serta akan mampu terus memperkasakan lagi pengurusan masjid dan menjayakan segala bentuk usahasama serta perancangan demi kebaikan ummah.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyantuni dan menyampaikan sumbangan agihan zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada asnaf Sarah Saad, 73 tahun yang tinggal di Batu 20 Pdg Besar (Utara). Sarah yang tinggal seorang diri bergantung kepada pendapatan hasil menoreh getah adalah salah seorang penerima ‘Bantuan Sara Hidup Berkala MAIPs’ dan ‘Bantuan Fitrah MAIPs’.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih atas segala komitmen yang dicurahkan oleh semua ahli jawatankuasa masjid di negeri ini dalam menjunjung amanah mengurus tadbir pengurusan masjid dengan sebaik mungkin dan hanya Allah Subhanahu Wa Ta’ala jualah yang dapat memberi ganjaran yang selayaknya.

Tuanku Raja Muda turut menitahkan bahawa pihak MAIPs berserta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JAIPs) dan Jabatan Mufti sentiasa bersedia untuk membantu, memudah cara dan menasihati pengurusan masjid di negeri ini supaya kekal dipandang mulia dan tinggi.

(Visited 166 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button