Sukan

Silat: Muhammad Robial ke separuh akhir

Kontinjen silat negara ceria apabila pemenang pingat emas Sukan Sea 2017, Muhammad Robial Sobri menjadi pesilat pertama melangkah ke separuh akhir pada hari kedua Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Dia yang bertanding dalam kelas I (80-85kg) lelaki di Arena 1, tidak berdepan tentangan sengit menewaskan pesilat dari Indonesia, Hendra Wahyu Hidayat 40-17 dalam saingan suku akhir.

Kemenangan tersebut membolehkan Muhammad Robial bakal berdepan pesilat dari Amerika Syarikat (AS), Earl Hurlburt yang mengalahkan S.Piyush dari India dengan keputusan 36-12 dalam perlawanan serentak di Arena 2.

“Saya rasa sangat berpuashati dan ini penyertaan kali keempat serta berharap tiada halangan untuk layak ke akhir dan bergelar juara.

“Tiga kejuaraan saya sertai sering terkandas untuk bergelar juara kerana masalah kecederaan dan sebagainya tetapi kali ini harapnya tidak berlaku lagi,” ujar pesilat berasal dari Kedah itu berusia 29 tahun.

Ujarnya, walaupun mengalami slipped disc yang sepatutnya perlu menjalani pembedahan namun dia menangguhkan dahulu kerana ingin beraksi di kejuaraan ini.

“Saya berazam untuk menewaskan pesilat dari AS serta layak ke akhir dan paling penting saya mahu meraih gelaran juara,” ujarnya.

Terdahulu pada aksi sebelah tengahari dua pesilat negara melangkah ke suku akhir selepas menewaskan lawan masing-masing meneruskan baki pusingan kelayakan yang tidak dapat ditamatkan semalam.

Mohammad Amiruddin Adzmi mempamerkan kelincahan apabila mudah menewaskan Tokurov Daniar dari Kyrgzystan untuk menang 76-45 dalam Kelas H (80-85kg).

Pesilat dari Sabah yang merupakan pemenang pingat gangsa Kejuaraan Pencak Silat Asia Tenggara di Singapura pada Februari lalu namun bersaing dalam Kelas C (55-60kg).

Seorang lagi pesilat negara, Aizad Akbar menerima tentangan sengit daripada Khassen Maxat dari Kazakhstan Khassen sebelum menang 44-32 dalam kelas A (45-50kg).

Bagaimanapun, Mohamad Aqasha Fitri Mohd. Arif Faizal gagal mengikut jejak langkah dua rakannya apabila terkandas untuk mara ke suku akhir selepas tumpas 23-49 kepada jaguh Vietnam, Le Van Toan dalam Kelas Terbuka 1 (95-110kg). – SM

(Visited 198 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button