Sukan

Perlis hantar 83 peserta kejohanan woodball kebangsaan

Perlis akan menghantar kontinjen besar seramai 83 peserta bagi mengambil bahagian di dalam ‘Kejohanan Sirkit Woodball Kebangsaan 2022’ anjuran Persatuan Woodball Malaysia di Taman Metropolitan Batu Kuala Lumpur dari 16 hingga 20 Februari 2022 yang akan datang ini.

Mereka terdiri daripada 57 atlet lelaki dan 26 atlet wanita. Beberapa orang di antara mereka pernah mewakili pasukan kebangsaan di pertandingan-pertandingan bertaraf antarabangsa di dalam dan juga luar negara sebelum ini. Telah terpilih sama ialah sebanyak enam orang pengadil yang terdiri daripada orang 4 lelaki dan 2 wanita.

Pecahan peserta yang akan berangkat ke ibubegara pada 15 Februari ini adalah daripada Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) 24 peserta terbuka dan 10 remaja, UiTM Perlis 13, Kelab Sukan, Rekreasi dan Kebajikan (KESIREK) Hospital Tuanku Fauziah 9, Kelab Kebajikan dan Rekreasi Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis (PERALIS) 8, Kelab Titan Perlis 8, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 8 dan Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) Perlis 3.

Demikian dipersembahmaklumkan oleh
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri, Ruhisha Haris kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di ‘Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri’ yang diadakan di Gelanggang Woodball Jabatan Pendidikan Negeri di Padang Behor, Kangar.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Ruhisha yang bertindak selaku Chef De Mission yakni ketua kontinjen pasukan ‘Perlis Woodpeckers’ itu turut memaklumkan bahawa latihan intensif telah dimulakan sejak 10 Januari lalu dan bakal berakhir pada 13 Februari ini. Dalam tempoh latihan tersebut, beberapa pertandingan mini mengikut acara-acara yang bakal disertai telah dilangsungkan bagi mempersiapkan para pemain dari segi fizikal dan juga mental.

Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Penaung DiRaja PWNPs mengingatkan semua atlet Perlis supaya memberi komitmen yang terbaik untuk mengharumkan nama negeri, menjaga displin dan pada masa yang sama mematuhi segala SOP ketat yang telah ditetapkan oleh penganjur dan juga pengurusan kontinjen PWNPs.

Untuk rekod, Perlis terpilih oleh Persekutuan Woodball Antarabangsa (IWF) untuk menjadi tuanrumah Kejohanan Woodball Piala Dunia (WCWC) 2020 yang terpaksa ditangguhkan sehingga ke hari ini akibat penularan pandemik Covid-19. Jika semua berjalan seperti yang dirancang dan sempadan negara dibuka kembali maka WCWC 2020 akan kembali diadakan di negeri ini pada bulan Julai 2022.

(Visited 1,087 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button