Sukan

Badminton campuran sumbang emas ketiga Malaysia

Sukan Komanwel Birmingham 2022

Skuad badminton campuran Malaysia menepati ramalan menghadiahkan pingat emas ketiga kontinjen negara apabila mudah menewaskan India 3-1 dalam perlawanan akhir di National Exhibition Centre pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 lewat pagi tadi.

Atas kertas, misi buat Malaysia untuk merangkul pingat emas dianggap sukar kerana berdepan India yang juga juara bertahan pada temasya di Gold Coast 2018.

Kejayaan itu membolehkan skuad badminton berpasukan campuran memenangi pingat emas keempat selepas melakukannya pada 2006, 2010 dan 2014.

Gandingan utama beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik memberikan mata pertama apabila mudah mengetepikan pasangan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dengan keputusan 21-18, 21-15 untuk kedudukan 1-0.

Bagaimanapun, jaguh perseorangan wanita, Goh Jin Wei tidak mampu menyaingi kehebatan pemain ranking ketujuh dunia, V. Sidhu Purala apabila tunduk 20-22, 17-21 bagi India mengikat kedudukan 1-1.

Begitupun, pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong biarpun hadir di Sukan Komanwel sebagai pemain gantian namun dia menunjukkan kehebatannya apabila mengejutkan K. Srikanth dengan keputusan 21-18, 6-21, 21-16.

Kemenangan tiga set oleh pemain kelahiran dari Johor itu membolehkan skuad negara mengatasi India dengan kedudukan 2-1.

Mata kemenangan buat skuad badminton negara menebus kekecewaan di Gold Coast disumbangkan beregu wanita menerusi gandingan Pearly Tan-M.Thinaah apabila mudah menjinakkan gandingan pemain muda India, Treesa Jolly dan Gayatri Gopichand 21-18, 21-17. – SM

(Visited 318 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button