Sukan

Bila budak hingusan dibawa masuk kabinet

SAYA tidak terkejut kenyataan-kenyataan populis dikeluarkan oleh kabinet Datuk Seri Anwar Ibrahim. Anwar sendiri bersikap demikian daripada memerintah negara.

Selain bersikap populis mereka akan menyalahkan orang lain. Setakat hari ini tiada apa yang dicapai oleh kerajaan Anwar. Isu bekalan telur yang kurang belum selesai.

Selain mengugut dan menyaman, tiada apa yang baharu dan berubah sikap Anwar serta gerombolannya.

Terbaharu Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menggesa Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim supaya menjustifikasikan dakwaan beliau bahawa badan sukan di negara ini dibelenggu oleh gejala rasuah.

Bernama melaporkan Presiden MOM, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria berkata, kenyataan sedemikian adalah tidak wajar, tidak adil dan prejudis kerana pelbagai badan sukan negara berjaya melahirkan juara dunia dalam sukan masing-masing selama berdekad-dekad.


“Sebagai badan penaung 57 Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA), MOM amat kecewa dengan kenyataan Adam Adli yang tidak mempunyai justifikasi dan tidak disokong oleh sebarang bukti.

“Sepatutnya Adam Adli hendaklah mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan sebelum mengeluarkan kenyataan menyeluruh yang mencerminkan pemahaman yang lemah mengenai struktur sedia ada,” menurutnya dalam satu kenyataan, semalam.

Norza berkata, beberapa NSA telah diiktiraf sebagai persatuan model dan mematuhi prinsip amalan terbaik tadbir urus yang baik.

Beliau berkata, NSA terbabit juga telah membantu meningkatkan profil sukan negara dengan melahirkan jaguh dunia yang digeruni dalam acara badminton, lumba basikal, terjun, boling tenpin dan silat.

“Meskipun NSA terbabit tidak sempurna dan beroperasi dalam kekangan, anda tidak boleh menyamakan kami dengan mereka yang kurang bertanggungjawab. Tidak dinafikan terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki namun tindakan mendakwa badan sukan mengamalkan rasuah adalah prejudis serta tidak matang,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan sama menyebut, adalah lebih baik jika Adam Adli mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan sebelum membuat kesimpulan.

Melontarkan pandangan sama, Presiden Persekutuan Wusyu Malaysia (WFM), Datuk Chong Kim Fatt meluahkan kekecewaan terhadap kenyataan Adam Adli yang beliau anggap bersifat populis.

“Kenyataan itu tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak. Ia hanya bersifat merobek perasaan NSA yang sepatutnya adalah pihak berkepentingan terbesar dalam dunia sukan.

“Adalah tidak adil bagi mereka yang telah bertungkus-lumus dan bekerja siang malam untuk membuahkan kejayaan dalam acara sukan masing-masing,” katanya.

Inilah akibat melantik “budak hingusan” ke dalam kabinet. – SM

(Visited 525 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button