EkonomiLuar Negara

Harga emas berpotensi melambung sehingga RM8,479

HARGA emas berpotensi untuk terus melambung ke paras AS$2,000 seauns dalam tempoh terdekat, lebih-lebih lagi selepas logam berharga ini mencapai paras tertinggi sepanjang masa pada AS$1,980 seauns baru-baru ini.

Kelemahan dolar serta ketidakpastian yang timbul daripada pandemik COVID-19 dan ketegangan geopolitik turut memberi ruang kepada harga emas untuk terus meningkat.

Ahli ekonomi OCBC Bank Howie Lee berkata, besar kemungkinan paras AS$2,000 seauns adalah sasarannya dengan pemangkin kepada kenaikan harga emas ialah kejatuhan dolar AS tidak lama dulu.

“Dengan pengumuman rangsangan fiskal seterusnya di Amerika Syarikat, harga emas dijangka meningkat ekoran kebimbangan mengenai inflasi selain daripada kelemahan dolar AS,” kata beliau kepada Bernama.

Lee berkata apa yang akhirnya akan dilihat ialah inflasi aset yang mana strategi “barbell” menjadi tema semasa para pelabur.

Katanya, pelabur-pelabur ini akan terus melaburkan lebihan kecairan ke dalam aset berisiko dan pada masa yang sama, mereka turut membeli dengan banyak untuk melindung nilai emas bagi mengelakkannya daripada peningkatan risiko menurun sekiranya berlaku sesuatu yang di luar jangkaan.

 

Emas peroleh momentum selepas Rizab Persekutuan AS ulangi janji sokong ekonomi

Penganalisis pasaran OANDA New York, Edward Moya berkata dagangan emas terus melonjak berikutan kenyataan pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell, yang bank pusat AS telah memperbaharui janji untuk tambahan rangsangan bagi menyokong ekonomi sebagai tindak balas kepada pandemik COVID-19.

Beliau menegaskan harga emas akan terus meningkat tinggi selepas Persekutuan berjanji untuk mengekalkan rangsangan berkenaan.

“Emas jatuh beberapa dolar sahaja daripada paras AS$2,000 dan para peniaga mengaut untung selepas Powell menyatakan bahawa dasar fiskal adalah penting.

“Perdagangan rangsangan emas tetap utuh tetapi mungkin boleh jadi sebaliknya sekiranya parti Republican dan Demokrat gagal dengan rang undang-undang bantuan COVID-19 dalam tempoh beberapa hari ini.

“Usaha Persekutuan tidak akan lenyap, tetapi sekiranya Kongres gagal mengendalikan saiz dan pemasaan rang undang-undang itu, emas boleh bertahan pada paras semasa sebelum mencecah melangkaui paras AS$2,000,” kata beliau.

 

Peniaga barang kemas raih manfaat

Sementara itu, syarikat jenama barang kemas tempatan — Habib Jewels Sdn Bhd melihat aliran menaik harga emas akan terus membawa sentimen positif terhadap tingkah laku pembelian pengguna terhadap logam berharga berkenaan.

Pengurus Besar Mohd Zaruddin Mahmud berkata syarikat masih mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelanggan yang datang untuk membeli kedua-dua barang kemas emas dan emas jongkong meskipun harganya melambung tinggi.

“Melihat kepada keadaan ekonomi dunia yang tidak nampak tanda-tanda pemulihan dalam masa yang singkat ini, saya merasakan harga emas akan kekal tinggi sehinggalah vaksin COVID-19 dibangunkan.

“Selagi vaksin tidak ditemui dan banyak negara terpaksa menutup perniagaan, selagi itulah harga emas akan meningkat kerana permintaan untuknya sangat tinggi kerana pelabur telah beralih kepada komoditi yang selamat,” tambah beliau. – BERNAMA

(Visited 430 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button