Ekonomi

‘Kempen Emas 2 Kilo’ Bank Rakyat tawar hadiah berjumlah lebih RM500,000

Berikutan sambutan yang memberangsangkan daripada pelanggan saban tahun, Bank Rakyat sekali lagi menganjurkan ‘Kempen Emas 2 Kilo’ sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan yang sentiasa menyokong perniagaan Ar-Rahnu pada masa yang sama, kempen ini mampu menggalakkan lebih ramai pelanggan menggunakan kemudahan pajak gadai berlandaskan Syariah.

Kempen yang berkonsepkan ‘Gadai dan Menang’ ini berlangsung selama tiga bulan bermula 15 Oktober 2021 sehingga 15 Januari 2022. Antara tarikan utama ialah tiada had minimum dan tempoh gadaian bagi melayakkan pelanggan menyertai kempen ini.

Menerusi kempen kali ini, jumlah keseluruhan hadiah berupa dua kilogram emas bernilai lebih RM500,000 ditawarkan kepada 101 pemenang. Hadiah tersebut berupa satu kilogram emas bagi pemenang hadiah utama dan 10gram emas setiap seorang bagi hadiah sagu hati untuk 100 pemenang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Syed Abdul Aziz Syed Hassan kempen ini bertujuan untuk menyedarkan masyarakat tentang nilai emas sebagai aset berharga dan boleh digadaikan untuk meningkatkan taraf ekonomi masyarakat khususnya usahawan dalam menangani situasi pasca pandemik COVID-19 serta mampu memacu kembali ekonomi masyarakat dan negara. Seiring aspirasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Bank Rakyat turut menyasar melahirkan ‘bangsa usahawan’ menerusi kerjasama pelbagai agensi di bawah kementerian tersebut yang menjurus kepada usaha membantu kumpulan sasar yang terjejas ekoran pandemik COVID-19.

“Pembiayaan Pajak Gadai-i dapat membantu lebih ramai usahawan untuk meneruskan kelangsungan perniagaan serta sebagai alternatif pembiayaan yang berupaya membangunkan perniagaan individu, khususnya usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui aliran tunai segera sehingga RM350,000.00 dengan kadar keuntungan yang rendah,” tambah beliau.

Sebanyak 141 buah cawangan Bank Rakyat, 48 Ar-Rahnu X’Change milik Bank Rakyat dan 77 Ar-Rahnu X’Change Rakyat Management Services (RMS) di seluruh negara menawarkan kempen ini yang memasuki tahun keempat sejak ia dilancarkan pada tahun 2018 yang lalu.

Perkhidmatan Pajak Gadai-i Bank Rakyat yang mula diperkenalkan pada tahun 1993 ini, telah mendapat tempat di hati masyarakat. Sebagai sebuah bank yang mengamalkan perbankan patuh Syariah, perkhidmatan Ar-Rahnu juga mampu membentuk persepsi positif bagi masyarakat bukan sahaja dapat membantu mengatasi masalah kewangan bahkan menawarkan tempat menyimpan barangan emas dengan selamat serta terjamin. Pada masa yang sama, Bank Rakyat turut menyahut saranan MEDAC bagi memperkukuhkan ekosistem keusahawanan yang secara tidak langsung mampu membina Keluarga Malaysia yang inklusif agar keharmonian dapat dicapai bersama.

Menerusi kempen kali ini, Bank Rakyat mensasarkan kenaikan pengeluaran pembiayaan Pajak Gadai-i sebanyak 20% dan pertambahan pelanggan sebanyak 2% hingga 5% pada bulan Disember 2021 nanti.

Melalui Kempen Emas 2 Kilo tahun lalu berjaya merekodkan peningkatan positif bagi pengeluaran pembiayaan sehingga 31% iaitu sebanyak RM1.07 bilion berbanding tahun sebelumnya. Kempen yang berlangsung dari 15 Julai 2020 sehingga 15 November 2020 menyaksikan jumlah penyertaan melebihi 200,000.

Untuk maklumat lanjut mengenai ‘Kempen Emas 2 Kilo’, pelanggan boleh melayari laman sesawang www.bankrakyat.com.my; atau hubungi pusat panggilan Bank Rakyat di talian 1-300-80-5454; atau kunjungi mana-mana cawangan dan Ar-Rahnu X’Change Bank Rakyat. – SM

 

(Visited 868 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button